Rabu, 8 Ogos 2018

Pihak pendakwaan tarik balik rayuan terhadap pembebasan Rafizi

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan menarik balik rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli atas pertuduhan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan di kalangan anggota UMNO melalui satu kenyataan empat tahun lalu.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim membatalkan rayuan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab Rahman memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan notis pemberhentian pada 25 Julai tahun ini.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Mohd Rafizi tidak membantah.

Pada 26 Jan, 2016, Mohd Rafizi didenda RM1,800 atau penjara 10 bulan sekirannya gagal membayar denda, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang mendapatinya bersalah mengaibkan dan membangkitkan kemarahan di kalangan anggota UMNO melalui kenyataan dalam artikel bertajuk “Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?” yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Mohd Rafizi, 41, dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat The Edge Malaysia Communication Sdn Bhd di Menara KLK, Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara, jam 11.40 pagi pada 4 Feb, 2014.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 504 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 13 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan dan melepaskan Mohd Rafizi daripada pertuduhan selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan denda.

Berikutan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.– Bernama

Tiada ulasan: