Rabu, 8 Ogos 2018

Mahkamah dengar permohonan perintah larangan terhadap media Jumaat ini

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Tarikh perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil aktiviti haram, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd ditetapkan pada Jumaat ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan Najib bagi mendapat perintah larangan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapinya sebelum perbicaraan bermula.

Mohd Nazlan juga melanjutkan perintah larangan sementara yang diperoleh Najib semasa prosiding kes beliau pada 4 Julai lalu sehingga Jumaat ini.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah pihak pembelaan dan pendakwaan telah menyerahkan penghujahan kepada mahkamah berhubung perintah larangan itu dan kedua-dua pihak telah bertukar-tukar penghujahan itu dan mencadangkan agar mahkamah mendengar perkara itu pada Jumaat ini.

“Tetapi saya bersedia untuk mendengar penghujahan hari ini,” kata Mohd Nazlan bagaimanapun Muhammad Shafee berkata Jumaat adalah lebih sesuai untuk mendengar perkara itu kerana kedua-dua pihak boleh membalas hujahan tersebut.

Hakim juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup supaya ketiga-tiga pertuduhan pengubahan wang haram dibicarakan bersama-sama dengan empat lagi kes.–Bernama

Tiada ulasan: