Ahad, 5 Ogos 2018

Perlis tak setuju kerajaan iktiraf UEC

Sitifatimah


Sistem UEC tak gambarkan perpaduan rakyat, hanya tumpu satu bangsa


PADANG BESAR– Kerajaan negeri Perlis tidak bersetuju dengan langkah Kerajaan Pusat untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan sewajarnya meneliti terlebih dahulu bagi mengelakkan Dasar Pendidikan Kebangsaan terjejas.  

Tambahan pula katanya, UEC yang kini diguna pakai di sekolah persendirian Cina setakat ini tidak menggambarkan semangat perpaduan rakyat dalam negara ini, lebih-lebih lagi sistem UEC tertumpu kepada satu bangsa saja, 

“Negara kita ingin membangunkan satu bangsa Malaysia yang bersatu dan antara langkahnya ialah melalui sistem pendidikan. Jika negara mempunyai pelbagai sistem pendidikan, mana mungkin negara mencapai kesepaduan rakyat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Perak turut membantah pengiktirafan UEC kerana didakwa bertentangan dengan asas Perlembagaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Malahan, UEC adalah satu silibus sekolah persendirian Cina yang sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, rakyat patut bersyukur kerana Malaysia antara negara yang begitu fleksibel dalam memastikan nasib sesuatu kaum terbela.

“Walaupun sebelum ini ada beberapa pihak turut mengkritik pelaksanaan sekolah jenis kebangsaan sewaktu pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), ia masih mengikuti piawaian dan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.


Tiada ulasan: