SEBUAH kerajaan yang kuat memerlukan pembangkang yang kuat.
Dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK)
Seri Setia dan Balakong, PAS akan berkempen untuk menarik rakyat untuk
menguatkan barisan pembangkang di Selangor demi kesuburan demokrasi dan
juga menambah suara semak dan imbang di Dun Selangor yang dikuasai 90
peratus oleh PH.
Oleh itu, kekalahan PH di dua PRK bakal
menjadi pemangkin kepadanya untuk berusaha melaksanakan manifestonya
tanpa leka, dan yang untung pada akhirnya ialah rakyat Malaysia dan
negara.
PAS juga mengalu-alukan pengakuan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pakatan Harapan telah
terlebih menabur janji untuk memenangi pilihan raya dan mengaku bahawa
PH hanya sekadar berjaya menunaikan 21 daripada 60 janji manifestonya
(35 peratus) di dalam pencapaian 100 hari.
Ini adalah satu permulaan yang baik
kepada politik baru yang bersifat lebih jujur dan rendah diri dalam
menghadapi kegagalan dan kelemahan sendiri daripada sikap suka
menegakkan benang yang basah seperti yang diamalkan kerajaan yang lalu.
Meskipun di dalam konteks pelaksanaan
100 hari, PH hanya sekadar mampu menunaikan 3 daripada 10 janjinya
kepada rakyat, PAS percaya jika PH ikhlas dan tekad untuk menunaikan
janjinya, kesemua janji akan dapat melaksanakannya meskipun ada perkara
di dalam manifesto PH yang PAS tetap tidak bersetuju.
PAS tidak pernah mengharapkan PH gagal
menunaikan janji-janjinya kerana kegagalan itu hanya membawa
kesengsaraan kepada rakyat dan juga negara. PH memerlukan pembangkang
yang kuat bagi memastikan mereka tidak leka daripada menunaikan janji
mereka kepada rakyat.
Sebagai pembangkang, PAS perlu memainkan
peranannya sebagai semak dan imbang kepada kerajaan, menyokong bilamana
agendanya baik kepada rakyat dan Islam, membantah bilamana ia tidak dan
memberikan kritikan supaya ia dapat berubah sebelum terlambat.
Diharap demokrasi negara akan menjadi
matang sekiranya semua parti politik dapat saling menasihati dan
mengkritik bukan untuk menjahanamkan pihak lain tapi demi membawa yang
terbaik kepada rakyat dan negara.
Kepada para pengundi Seri Setia dan
Balakong, berilah undi untuk menguatkan pembangkang di PRK Seri Setia
dan Balakong dan insya Allah seluruh rakyat akan mendapat manfaat
daripada keputusan itu.HARAKAHDAILY
*Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kubang Kerian,Timbalan Presiden PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan