PUSAT Penyelidikan
PAS (PPP) berkeyakinan penyertaan PAS dalam Pilihanraya Kecil (PRK) DUN
Seri Setia bukanlah sekadar menguji penerimaan rakyat terhadap PAS pasca
PRU ke-14, tetapi juga untuk merampas kerusi DUN tersebut dari Pakatan
Harapan (PH). Keyakinan ini adalah berasaskan corak pengundian
pengundi-pengundi di kawasan bandar yang dinamik serta mudah untuk
membuat perubahan. Kedudukan DUN Seri Setia di tengah-tengah kawasan
bandar di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam memungkinkan
perubahan corak pengundian berpotensi besar untuk berlaku.
Sebenarnya lebih separuh
pengundi-pengundi di kawasan bandar termasuk pengundi Melayu adalah
dikategorikan sebagai pengundi atas pagar. Manakala pengundi-pengundi
partisan pula rata-rata terdiri dari penyokong Barisan Nasional (BN) dan
PAS. Pengundi-pengundi atas pagar ini, lazimnya dipengaruhi oleh
isu-isu semasa dan faktor keterampilan calon. Oleh sebab itu, PPP
berkeyakinan sebahagian besar pengundi-pengundi yang mengundi calon PH
dalam PRU ke-14 yang lalu dipengaruhi oleh sentimen menolak Perdana
Menteri yang keenam yang menjadi faktor paling dominan bagi
pengundi-pengundi bandar ketika itu.
Di dalam PRK DUN Seri Setia pada kali
ini, pengundi-pengundi atas pagar tersebut tidak lagi dipengaruhi kuat
oleh sentimen seumpama itu, memandangkan BN telahpun tumbang dalam PRU
baru-baru ini. Berdasarkan kepada perkembangan politik semasa dan
keputusan PRK DUN Sungai Kandis, faktor yang menentukan corak
pengundi-pengundi atas pagar ialah protes mereka terhadap janji-janji
manifesto PH yang tidak ditepati dan tiada perubahan yang ketara kepada
taraf hidup rakyat. Bagaimanapun, di Sungai Kandis mereka menzahirkan
protes mereka dengan tidak keluar mengundi, bukan dengan dengan mengundi
calon lawan PH.
Manakala dalam PRK DUN Seri Setia ini
pula, faktor yang sama akan turut berpotensi mencorakkan pengundian
pengundi-pengundi di DUN ini, sama ada mereka terus mengambil sikap
tidak keluar mengundi atau mengundi calon PAS. Dengan janji UMNO atau BN
untuk membantu PAS, calon PAS dilihat mampu memperolehi undi teras
sehingga 14000. Sekiranya undi protes daripada pengundi-pengundi atas
pagar berpihak kepada PAS, maka calon PAS berupaya untuk melakar
kemenangan. PPP yakin sekiranya situasi ini berlaku, PAS boleh memenangi
PRK ini dengan majoriti tipis, tetapi cukup bermakna kepada
perkembangan politik Malaysia seterusnya.
*Dr Mohd Zuhdi Marzuki,Pengarah PPP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan