OLEH NADIAH ZAMLUS
KUALA SELANGOR- Nasi Ambeng, makanan tradisi turun temurun masyarakat Jawa kini boleh didapati dengan mudah bagi penggemarnya mahupun buat mereka yang mahu mencubanya buat kali pertama.
Nasi Ambeng Warung Ibu yang terletak di Kampung Sungai Gulang-Gulang antara kedai makan yang menghidangkan juadah nasi ambeng dengan rasa asli.
Manakan tidaknya, hampir setiap hari ia mampu menarik 200 pelanggan tempatan dan juga luar.
Pegawai Operasinya, Shahril Azwan Samsudin, 41 berkata, kedainya beroperasi setiap hari dan dibuka dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
“Tetapi ada waktunya, pada jam 1 atau 2 petang, nasi ambeng sudah habis, jadi saya nasihatkan bagi yang ingin merasai keenakan nasi ambeng di warung ini, bolehlah datang lebih awal,” katanya ketika ditemui SelangorKini.
Dibuka pada 2009, juadah Nasi Ambeng di Warung Ibu dimasak setiap hari oleh pengusahanya, Katminah Nitta, 65 tanpa mengitar semula lauk yang lama.
Shahril berkata, disebabkan itulah pelanggan membanjiri kedainya hampir setiap hari.
“Bukan itu sahaja, satu set hidangan Nasi Ambeng berharga hanya RM7 sahaja, ia turut dilengkapi dengan nasi putih, mee goreng, sambal kelapa, sambal goreng Jawa, dan juga ayam masak kicap, saiznya agak besar dan boleh dikongsi dua orang.
“Kami juga mempunyai pelanggan tetap dan setakat ini pelanggan paling jauh datang daripada Kelantan dan juga Terengganu, tidak ketinggalan pelanggan dari Johor pula datang ke sini kerana ingin melihat apa bezanya Nasi Ambeng Johor dan juga masyarakat Jawa di Selangor,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan