Isnin, 13 Ogos 2018

Keputusan kes CD ‘kalimah Allah’ 29 Okt depan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan semakan kehakiman oleh seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill supaya beliau diberikan hak menyimpan lapan keping cakera padat (CD) mengandungi kalimah Allah, ditangguhkan ke 29 Okt ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Lim Heng Seng mewakili Jill Ireland kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin hari ini, yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk keputusan permohonan semakan kehakiman berkenaan selepas kedua-dua pihak selesai berhujah pada 15 Nov, tahun lepas.

Lim turut memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan cuba menyelesaikan kes itu dengan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden dalam semakan kehakiman tersebut.

Sementara itu, Shamsul berkata tarikh sama (29 Okt) ditetapkan untuk kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah berhubung status penyelesaian berkenaan.

Jill Ireland daripada etnik Melanau dan merupakan seorang kerani daripada Sarawak, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008, memohon dipulangkan kepadanya lapan CD yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang.

CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.

Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan CD itu dipulangkan kepada Jill Ireland, tetapi tidak mengeluarkan arahan berhubung pengisytiharan dipohon wanita itu bahawa dia berhak menyimpan, menggunakan dan mengimport bahan penerbitan mengandungi kalimah ‘Allah’.

Pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan lapan CD dirampas milik wanita itu selepas menolak rayuan kementerian dan kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Kementerian Dalam Negeri diperintah memulangkan CD itu dalam masa sebulan dari tarikh keputusan dan turut memerintahkan pengisytiharan yang dipohon Jill Ireland didengar di Mahkamah Tinggi.– Bernama

Tiada ulasan: