Khamis, 16 Ogos 2018

Jumlah subsidi haji muassasah kekal tahun depan

MALAYSIAKINI

   

Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah Tabung Haji (TH) yang menunaikan haji akan dikekalkan seperti tahun ini untuk musim haji tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sesuai dengan asas penubuhan TH untuk memberi khidmat dan memudah cara umat Islam Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu, kerajaan akan memastikan para jemaah tidak akan terbeban oleh kos menunaikan haji.

"Kita subsidikan setiap jemaah haji kita sebenarnya lebih daripada jumlah yang dibayar oleh mereka. Mereka cuma bayar RM9,980 manakala yang kerajaan subsidikan lebih kurang RM12,000 bagi setiap jemaah.

"Kita juga ada membincangkan sama ada pelan-pelan baik pulih (bagi pengurusan haji) yang telah dijalankan akan membabitkan penambahan kos dan seterusnya membebankan kita. Namun saya diberitahu setiap penambahbaikan tidak akan melibatkan kos yang tinggi untuk para jemaah," katanya pada sidang media di Makkah, hari ini.

Beliau berharap sektor perniagaan TH dapat berkembang pada masa akan datang dan mendatangkan pulangan yang lebih tinggi kepada syarikat dalam usaha untuk terus menampung subsidi jemaah haji Malaysia.

"Bahagian perniagaan (TH) sedang melalui pemulihan. Kita sudah ada pengerusi baharu, Ketua Pegawai Eksekutif baharu dan mungkin dalam masa yang terdekat, ahli-ahli lembaga pengarah yang baharu akan diperkenalkan," katanya.

Kerajaan juga katanya akan melihat kepada pelan subsidi ibadah haji yang telah dibuat oleh pengurusan TH yang terdahulu untuk melihat sama ada pelan tersebut masih relevan untuk diteruskan atau sebaliknya.

Mujahid turut menyambut baik kebenaran yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi tahun ini hasil rundingan antara pihak TH dan Kementerian Haji Arab Saudi berkenaan waktu untuk melontar khas di jamrah pada hari-hari tasyrik bagi jemaah haji Malaysia.

"Sebelum ini kita memang minta daripada kerajaan Arab Saudi satu waktu khas kepada jemaah haji Malaysia untuk membuat lontaran di jamrah (pada hari-hari tasyrik). Sebelum ini, kita tiada satu waktu melontar yang dikhususkan oleh Arab Saudi.

"Kerajaan Arab Saudi memang sentiasa memantau dan mengehadkan bilangan jemaah haji yang memasuki bangunan jamrah bagi satu-satu masa untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berulang," katanya.

​​​​​​​Bagi tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata waktu-waktu melontar bagi jemaah haji Malaysia akan ditetapkan sendiri oleh pihak TH, berdasarkan kepada kepadatan di kawasan jamrah dan keadaan cuaca pada waktu tersebut.

"Kita bersyukur kerana pada tahun ini secara rasmi kita mendapat izin untuk melakukan lontaran pada waktu yang terbaik dengan keadaan cuaca yang kurang panas, memandangkan jemaah kita perlu berjalan agak jauh dari khemah ke tempat melontar," katanya.

Setakat ini, beliau berkata terdapat seramai 10 orang jemaah haji Malaysia yang ditempatkan di hospital di Makkah manakala 94 orang jemaah haji Malaysia sedang dirawat di pusat-pusat kesihatan TH di Makkah.

"Kalau mengikut statistik yang ditunjuk secara komparatif dengan pada tahun-tahun yang lalu, boleh kita anggap bahawa kita telah berjaya dari segi mengurangkan kematian jemaah haji di tanah suci, berdasarkan inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan.

"Daripada keseluruhan bilangan jemaah haji Malaysia, setakat ini kita hanya mencatatkan tujuh kematian, enam di Makkah dan satu di Madinah," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: