KEADILAN DAILY
Janji Pkatan Harapan untuk mewujudkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suri rumah ditepati apabila KWSP mengumumkan pendaftaran Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dibuka mulai hari ini menerusi 67 cawangannya di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail gembira dengan perkembangan tersebut.
“Janji KWSP untuk suri rumah ditepati. i-Suri fasa 1 dilaksana demi membela nasib suri rumah sepenuh masa di saming menggalakkan rakyat Malaysia menabung,” kata beliau menerusi Twitter.
Presiden KEADILAN itu sebelum ini mengumumkan skim tersebut di Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa KWSP 2018, minggu lepas.
Memetik kenyataan, KWSP berkata suri rumah, balu dan ibu tunggal yang berdaftar dengan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum RM5 setiap bulan ke akaun simpanan persaraan mereka.
Pada masa sama, kerajaan akan mencarum RM40 setiap bulan ke dalam akaun KWSP suri rumah ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, individu yang menepati kelayakan dan membuat pendaftaran i-Suri akan menikmati manfaat sama seperti ahli KWSP iaitu dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran umur 50, 55 dan 60, bantuan hilang upaya serta bantuan kematian.
Sementara itu, Bernama melaporkan seorang ibu tunggal, Zaiton Sulaiman, 56 tahun menjadi individu pertama yang layak mencarum dalam i-Suri di ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut mengenai eKasih, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MGCC) di talian 03-8000 8000.
Penjelasan mengenai produk dan perkhidmatan KSWP boleh didapati dengan menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000 atau rujuk laman sesawang www.kwsp.gov.my serta kunjungi mana-mana cawangan KWSP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan