Khamis, 16 Ogos 2018

Ahli MPSJ calon PRK Balakong

  3da569bb-1df1-4e11-a64a-b7dcd268f37e

KEADILAN DAILY


Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Wong Siew Ki diumumkan DAP sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong September ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Siew Ki dipilih DAP Selangor kerana rekod kerja beliau di peringkat akar umbi.

“Beliau turut membantu kami menghasilkan bahan kempen untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei lalu.

“Selain itu, kami mahu memberi peluang kepada ahli wanita untuk menjadi calon,” katanya selepas membuat pengumuman itu, di ibu pejabat DAP, hari ini.

Sementara itu, Siew Ki berikrar untuk meneruskan kesinambungan khidmat untuk rakyat yang telah dilaksanakan mendiang Eddie Ng Tien Chee, bekas ADUN Balakong.

“Saya akan pergi ke setiap rumah dan melawat pengundi untuk lebih memahami keperluan mereka.
“Lagipun kita ada masa lebih 20 hari untuk berkempen dan berjanji melakukan terbaik serta tidak menghampakan pengundi Balakong,” katanya.

PRK DUN Balakong bakal berlangsung selepas wakil rakyatnya, Eddie Ng maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, 20 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak pada 8 September dengan hari penamaan calon ditetapkan 18 Ogos dan hari mengundi awal pada 4 September depan.

Pada PRU14 lalu, Ng mengalahkan calon MCA, Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.

Tiada ulasan: