Khamis, 2 Ogos 2018

Hakim Mohd Nazlan akan dengar kes Najib 8 Ogos

MALAYSIA GAZETTE
Kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.


KUALA LUMPUR – Kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mengikut senarai kes di Mahkamah Tingggi Jenayah 3, Mohd Nazlan akan mendengar kes Najib yang ditetapkan pada 8 Ogos, pukul 9 pagi.

Mohd Nazlan, 51, dari Mahkamah Tinggi Dagang 1 menggantikan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang sebelum ini mendengar kes Najib.

Mohd Sofian ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Sivil 10. Pertukaran mereka berkuat kuasa I Ogos 2018 dan surat pertukaran itu telah ditandatangani Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim pada 24 Julai 2018.

Pada 8 Ogos ini kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes dan pendengaran perintah halangan yang dimohon oleh Anggota Parlimen Pekan untuk menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu dan bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.

Pada 4 Julai 2018, Najib, 65, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Sofian atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini media melaporkan, Hakim Mohd Sofian perlu menarik diri daripada mendengar kes Najib atas alasan abang kepada Hakim Mohd Sofian mempunyai kedudukan dalam UMNO dan kerajaan Pahang.

Bagaimanapun pada 6 Julai lepas Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media berkata pemilihan hakim Mohd Sofian untuk mendengar kes Najib dibuat secara rawak yang dilaksanakan secara dalam talian melalui Portal e-Filing Mahkamah.

Menurut kenyataan itu proses pendaftaran ini bermula apabila pihak Pendakwa Raya memfailkan kes mereka dalam sistem e-Filing dan sistem ini akan membahagikan kes secara rawak kepada hakim-hakim yang mengendalikan kes jenayah.— BERNAMA


Tiada ulasan: