Khamis, 2 Ogos 2018

Gaji RM5 juta: Kementerian akan ambil tindakan terhadap Arul

 
Lim Guan Eng berkata kementeriannya juga tidak meluluskan baki pembayaran RM2.5 juta kepada Arul Kanda.


Lim Guan Eng menuntut penjelasan Najib Razak adakah Arul Kanda mendapat RM10 juta setahun sebelum beliau menjadi presiden 1MDB.


KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Arul Kanda Kandasamy bagi menuntut bayaran RM2.5 juta yang dibayar kepadanya selaku presiden 1MDB.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, pihaknya juga tidak meluluskan baki pembayaran RM2.5 juta kepada Arul.

“Dan juga mengkaji tindakan lain supaya apa-apa keputusan yang dibuat dan merugikan 1MDB, kita pun boleh tuntut balik kepada Arul Kanda,” katanya pada sidang medianya di Parlimen hari ini.

Semalam, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan pembayaran gaji kontrak bekas pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda sebanyak RM5 juta selama 6 bulan sebagai satu perkara yang baik dan setimpal dengan tanggungjawab dan peranannya dalam syarikat itu.

Najib berkata, bayaran itu perlu dinilai dalam konteks yang positif kerana ia tidak setanding kejayaan Arul menguruskan 1MDB.

Mengulas lanjut, Lim turut menuntut penjelasan daripada Najib adakah Arul mendapat RM10 juta setahun sebelum beliau menjadi presiden 1MDB.

“Saya tidak ada rekod yang menyatakan beliau dibayar RM5 juta untuk 6 bulan, RM5 juta lagi untuk 6 bulan atau RM10 juta untuk setahun,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mempersoalkan adakah Najib berbohong lagi agar dapat mempertahankan gaji tinggi yang diberikan kepada Arul.

Guan Eng berkata, untuk 6 bulan pertama bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2018, Arul Kanda merupakan pekerja tunggal 1MDB.

“Di sini saya sekali lagi mempersoalkan kredibiliti dan integriti bekas perdana menteri memberikan alasan yang tidak masuk akal langsung.

“Sekiranya beliau nak cakap angka dan fakta, tunjukkan bukti sebelum beliau menjadi presiden 1MDB, beliau dibayar RM10 juta setahun atau RM5 juta untuk 6 bulan seperti mana yang saya nyatakan di sini.”

Tiada ulasan: