Isnin, 13 Ogos 2018

Exco Kerajaan Negeri Melaka ziarahi pelakon Wan Maimunah di hospital



Exco Kerajaan Negeri Melaka ziarahi pelakon Wan Maimunah di hospital

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab menziarahi pelakon veteran Wan Maimunah yang kini sedang dirawat di Hospital Alor Gajah, Melaka.

Wan Maimunah Wan Abdul Aziz,64, yang menghidapi masalah bengkak jantung dan jangkitan kuman di paru-paru dapat dikesan sejak setahun lalu.

Pelakon Wan Maimunah   pernah memenangi kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lima kali berturut-turut sejak 1992 sehingga 1996 dan pada tahun 2002, beliau memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin menerusi drama Rumah Di Tengah Sawah.

Mohd Sofi yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka turut mendoakan agar Wan Maimunah cepat sembuh daripada derita penyakit ditanggungnya kini.

“Saya doakan bonda cepat sembuh, dan sihat sediakala. Moga ada peluang untuk kita melihat kembali bonda di layar seni tanah air.

“Beliau kelihatan ceria dan semakin beransur pulih dari penyakit semput beliau.

“Kepada peminat-peminat beliau bolehlah ziarah bonda Wan Maimunah.

“Saya yakin beliau masih mampu untuk meneruskan karier beliau dalam bidang seni ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Wan Maimunah kini ditempatkan di wad Kenangan katil 2B di hospital Alor Gajah.

Mohd Sofi juga menyeru kepada peminat dan sesiapa yang mengenali pelakon veteran ini agar menghulurkan bantuan bagi meringankan beban rawatannya.

“Kehebatan beliau membawakan pelbagai watak-watak dalam drama dan filem cukup memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

“Saya menyeru pelbagai pihak untuk tampil membantu menjaga kebajikan pelakon-pelakon veteran yang banyak berjasa kepada dunia seni negara.

“Terima kasih kepada kakitangan Hospital Alor Gajah cukup mesra dan memberikan perkhidmatan terbaik,” ujarnya yang turut menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada Wan Maimunah.

Tiada ulasan: