Khamis, 16 Ogos 2018

Beca, tembikai susu, Naimbif antara kejayaan 100 hari Kelantan

MALAYSIAKINI

   

Kerajaan PAS Kelantan hari ini berkata sudah berjaya melaksanakan beberapa manifestonya selepas mendapat mandat baru dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Antara kejayaan itu, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, “berjaya menyediakan beca bermotor sebanyak 10 buah dan sebuah bas untuk para pelancong melawat tempat bersejarah dalam Bandar Kota Bharu”.

Dalam kenyataan hari ni, Ahmad juga berkata kerajaan negeri juga mengaktifkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan dengan melantik ketua pegawai eksekutif dan kakitangannya bagi menjayakan sektor pertanian negeri.

“Antara projek yang sudah dijalankan adalah projek pertanian rock melon (tembikai susu) bagi menghasilkan jus rock melon yang mana jenis buah ini adalah yang terbaik di negara kita,” katanya.

Beliau juga berkata program perternakan lembu pedaging juga diberi fokus dengan menghasilkan daging lembu yang dijenamakan sebagai “Naimbif”.

“Di samping itu, sektor penanaman padi dan durian kunyit telah berjaya dan sedang dikembangkan dengan lebih pesat,” kata Ahmad.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad juga berkata bagi penggal ini, kerajaan negeri membuat ketetapan supaya apa sahaja program utama hendaklah dilaksanakan secara bersepadu berasaskan kepada tiga fokus utama iaitu:

Menambah peluang pekerjaan melalui aktiviti ekonomi industri hiliran berasaskan sumber asli serta meningkatkan lagi sektor perkhidmatan dan pertanian.

Bagi menjayakan program kebersihan, keceriaan bandar dan penghijauan.

Menangani masalah sosial dan maksiat.

“Walaupun kerajaan negeri Kelantan tidak meletakkan tempoh tertentu untuk menunaikan janji manifesto, namun usaha ke arah pelaksanaan janji telah dilaksanakan dengan sebaiknya bagi meneruskan khidmat terbaik demi kesejahteraan rakyat negeri Kelantan,” katanya.


Tiada ulasan: