Selasa, 14 Ogos 2018

AMANAH tak rela lepaskan Aishah

 
   

Nampaknya penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah belum lagi lagi boleh mengetepikan hal-hal politik daripada rutin hariannya apabila Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak peletakan jawatan beliau.

Menurut anggota Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Aiman Athirah Al-Jundi, Aishah sudah banyak berjasa kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) khususnya membantu parti dalam berkempen menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Malah kata Aiman Athirah, AMANAH sudah menyediakan peranan penting untuk Aishah sebelum penyanyi Camar Yang Pulang itu menghantar surat peletakan jawatannya.

“Di peringkat kita (AMANAH) tak timbul langsung perasaan tidak puas hati atau pergeseran hingga menyebabkan dia meletak jawatan.

“Memang dia ada sebut sebelum ini dalam Instagram miliknya. Tetapi kita tidak memberi reaksi kerana belum bermesyuarat lagi ketika itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Aiman Athirah yang juga timbalan pengarah pilihan raya AMANAH berkata selepas menerima surat daripada Aishah, jawatankuasa pimpinan tertinggi parti itu sebulat suara menolaknya.

Kata Aiman Athirah AMANAH masih memerlukan khidmat dan sumbangan Aishah terutama ketika HARAPAN kini menjadi kerajaan.

Sebelum ini Aiman Athirah berkongsi hantaran mengenai peletakan jawatan Aishah di media sosial.

Sesuai sebagai seniman

“Peletakan jawatan Wan Aishah Wan Ariffin daripada Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional telah ditolak sebulat suara oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional, Parti Amanah Negara (Amanah),” katanya.

Untuk rekod, selepas membabitkan diri sebagai aktivis politik selama lapan tahun, Aishah pada Jun lalu mengumumkan ingin meninggalkan bidang politik dan kembali sebagai penghibur sepenuh masa.

Sebelum menyertai AMANAH, Aishah terlebih dahulu membabitkan diri dalam PAS dan bertanding menjadi calon parti itu pada PRU ke-13.

Penyanyi yang turut terkenal dengan lagu Cinta Beralih Arah dan Janji Manismu itu bertanding mewakili PAS di kerusi parlimen Jempol dan berdepan Tan Sri Isa Samad pada 2013.

Namun, Aishah gagal mengetepikan tokoh kanan Umno berkenaan apabila kalah dengan perbezaan 8,614 undi.

Apabila PAS mengalami pergolakan dalaman dan pemimpin beraliran progresif menubuhkan AMANAH, Aishah menyertai parti berkenaan.

Menjelaskan peranan akan diserahkan kepada Aishah, Aiman Athirah berkata, ia membabitkan bidang kesenian, sesuai dengan kedudukan penyanyi terbabit sebagai artis.

“Kami ingin susun semula kehidupan artis untuk diperjuangkan, dan dia akan mewakili artis untuk salurkan pandangan kepada kerajaan.

"Peranan itu sesuai dengan kedudukan Aishah sebagai seniman,” katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: