Rabu, 8 November 2017

Kerajaan jamin rawatan terbaik kepada Anwar - Zahid

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan memberi rawatan terbaik kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjalani pembedahan bahu pada 12 November ini.
 
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan di Dewan Rakyat, petang tadi.
 
“Soal berkaitan Anwar Ibrahim yang dibangkitkan, saya ingin menyebutkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan menyediakan langkah-langkah memenuhi permintaan beliau sendiri dan ahli keluarga beliau.
 
“Dengan rasa simpati, saya ingin mengatakan bahawa rawatan terbaik daripada doktor pakar yang sesuai dan post operation ataupun rawatan pasca pembedahan akan diberikan kepada beliau.
 
“Dan kita tentunya berdoa agar selepas pembedahan beliau akan segera sembuh. Kita harap pegawai-pegawai kesihatan akan memberikan rawatan yang terbaik.
 
Manivanan sebelum ini membangkitkan kecederaan yang dialami Anwar selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Penjara Sungai Buloh pada hujung September lalu.
 
Zahid kemudiannya menafikan pihak kerajaan ‘lepas tangan’ dalam isu itu sebagaimana yang diajukan wakil rakyat daripada PKR itu.
 
“Saya nak maklumkan kepada YB Kapar, siasatan itu (kemalangan Anwar) sedang dijalankan. Dan saya pasti ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan itu jika disengajakan," kata Zahid lagi.
 
Ini bukan kali pertama Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) terbabit dalam kemalangan.
 
Bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu juga pernah terlibat kemalangan sehingga retak tulang di bahu kanannya ketika menaiki kereta dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Desa Sri Hartamas. 
 
Semalam ahli keluarga Anwar membangkitkan kebimbangan yang sama yang meminta tidak ada campur tangan dalam operasi pembedahan Ahad ini.
 
 

Tiada ulasan: