KOTA KINABALU: Kawasan pedalaman di Sabah tidak akan berdepan dengan
masalah bekalan air bersih dan elektrik jika Kementerian Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah (KKLW) cemerlang melaksanakan tugas di bawah
pentadbiran bekas menterinya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal antara tahun
2009 hingga 2015.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
berkata demikian kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), apabila
cuba mengaitkan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan
dana KKLW semasa diterajui Mohd. Shafie.
Abdul Rahman berkata, hakikatnya Musa selama ini telah meminta agar
Mohd. Shafie bekerjasama dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur di
Sabah tetapi tidak pernah dilayan.
Justeru bekas Naib Presiden Umno itu wajar dipersalahkan serta tidak
sepatutnya menggunakan imuniti Dewan Rakyat untuk mengaitkan pihak lain
terhadap siasatan ke atas dirinya.
“Kalaulah KKLW ini telah berjalan dengan baik seperti mana Mohd. Shafie
kata, kenapa masih lagi ada masalah air dan elektrik di Sabah, itu saja
sangat mudah.
“Tan Sri Musa Aman beberapa kali semasa Mohd. Shafie berada dalam
kerajaan berjumpa dengan Perdana Menteri dan kepemimpinan Persekutuan
memberi komen bahawa KKLW tidak pernah memberitahu kerajaan negeri
tentang perancangan mereka di Sabah.
“Ini amat diketahui bukan sahaja sebab dia disiasat tetapi orang ramai
mempertikaikan projek-projek KKLW ini, jadi bagi saya jangan guna Dewan
Rakyat untuk menyalahkan orang lain kerana anda ada imuniti,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa
Transformasi Sosial, Komuniti dan Pembangunan Mapan 2017 (ICSTCSD 2017)
di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata demikian bagi membidas kenyataan Mohd. Shafie di
Dewan Rakyat semalam bahawa Loji Rawatan Air Sungai Intan di Semporna
yang disiasat SPRM telah diserahkan kepada syarikat yang mempunyai
kaitan dengan Ketua Menteri.
Pada 20 Oktober lalu, Mohd. Shafie ditangkap SPRM bagi membantu
siasatan penyelewengan dana KKLW sebanyak RM1.5 bilion yang berlaku
semasa beliau menjadi Menteri KKLW.
Loji Rawatan Air Sungai Intan yang terletak di Parlimen Semporna iaitu
kawasan Mohd. Shafie merupakan antara yang disiasat kerana gagal
membekalkan sumber air bersih walaupun pembinaannya menelan belanja RM45
juta.
Kegagalan loji berkenaan menyebabkan lebih 3,000 penduduk di beberapa
kampung termasuk Kampung Sungai Intan terpaksa bergantung sepenuhnya
dengan air perigi untuk kegunaan harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan