SIAPA sebenarnya yang bersalah?
Mungkin ini persoalan yang cukup besar
dan jawapan dinantikan oleh seluruh rakyat terutama warga Felda dan
Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).
Kini, lembaga siasatan bebas mengenai
kemelut FGV yang diketuai Datuk Seri Idris Jala dan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan terperinci.
Kerajaan pada 19 Jun mengambil langkah
drastik dengan mengumumkan pelantikan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas
FGV, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV berkuat
kuasa serta-merta.
Keputusan itu diputuskan selepas Pengerusi FHV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad melepaskan jawatannya.
Tetapi Mohd. Isa tidak terus berehat
sebaliknya dilantik pula sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu dibuat sebagai menghargai peranan Mohd. Isa yang berterusan kepada negara.
Wajarkah Mohd. Isa dilantik ke jawatan baharu itu sewaktu siasatan mengenai FGV masih dijalankan?
FGV di dalam kenyataan di Bursa Malaysia
menjelaskan, peletakan jawatan Mohd. Isa bagi membolehkan beliau
memberi tumpuan kepada urusan peribadinya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak memberitahu, tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses
keadilan melalui lembaga siasatan bebas terhadap apa yang telah berlaku
ke atas empat pengurusan kanan FGV termasuk Presiden dan Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad.
Kata Najib, ini dikehendaki oleh prinsip pentadbiran syarikat yang disenaraikan dalam syarikat awam.
Tegasnya, itu perkara biasa dan apabila
ada lembaga siasatan, ia bukan bermakna dia bersalah tetapi proses itu
perlu dilakukan dan selesai nanti, pihak Lembaga Pengarah FGV akan
membuat keputusan seadilnya dan sebaik mungkin.
Perdana Menteri turut menjelaskan,
keputusan melantik Sulaiman sebagai pemangku pengerusi adalah sementara
sehingga satu keputusan akhir dibuat.
Sulaiman, 67tahun, yang merupakan
Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV turut memegang jawatan sebagai
Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang
Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan
Kedua Sdn. Bhd.
Beliau juga tokoh yang berpengalaman
luas dalam kerajaan kerana telah berkhidmat selama 38 tahun dalam
pelbagai jawatan termasuk Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU)
Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal.
Apa yang diharapkan, pelantikan Sulaiman dapat menambah baik tadbir urus korporat syarikat konglomerat itu.
Umum mengetahui, Sulaiman bukan pemain
baharu dalam industri itu kerana pernah memegang jawatan sebagai ahli
lembaga pengarah Felda selain mempunyai pengalaman dan pemahaman luas
mengenai Felda.
Perubahan jawatan Pengerusi FGV itu dilihat bertepatan dengan kehendak majoriti warga peneroka di peringkat akar umbi.
Perlu diakui pergeseran terbuka di peringkat pengurusan tertinggi FGV telah menjejaskan reputasi dan imej syarikat itu.
Kini warga Felda menyandarkan harapan
kepada Sulaiman yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ekonomi
dan pentadbiran kerajaan untuk mengembalikan kedudukan FGV dalam
perniagaan berprestasi tinggi.
Menyorot kembali kemelut FGV, ianya
bermula pada 13 Mei apabila Mohd. Isa meminta Zakaria meletak Jawatan
atas dakwaan langgar kod tadbir urus.
Pada 5 Jun, Zakaria menegaskan beliau tidak akan letak jawatan.
6 Jun, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan
Zakaria dan tiga individu lain termasuk Ketua Pegawai Kewangan FGV,
Ahmad Tifli Mohd. Talha bercuti.
Zakaria mahu SPRM siasat operasi FGV termasuk sebelum beliau menjadi CEO.
7 Jun, Zakaria memberi keterangan kepada SPRM dan Idris dilantik mengetuai lembaga siasatan bebas mengenai kemelut FGV.
Pada 8 Jun, SPRM menyerbu ibu pejabat FGV dan mengambil empat kotak dokumen dan dua beg bimbit.
13 Jun, Lembaga Pengarah FGV menyerahkan
surat tunjuk sebab kepada Zakaria dan Ahmad Tifli berhubung hutang
tertunggak Safitex dengan Delima Oil Products Sdn. Bhd.
19 Jun, Sulaiman dilantik Pemangku Pengerusi FGV serta merta.
Sewaktu kerajaan mengumumkan pelantikan
Sulaiman, laporan siasatan bebas mengenai kemelut FGV mengemukakan empat
penemuan utama untuk badan bebas tersebut men jalankan siasatan
selanjutnya.
Apakah empat penemuan itu?
*Pertama, terdapat fakta yang mencukupi
dan asas munasabah untuk FGV melaksanakan prosiding tatatertib terhadap
Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan dua pegawai
pengurusan kanan FGV yang lain.
Perkara tersebut berkaitan dakwaan
pelanggaran prosedur dalam anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products
Sdn. Bhd. (DOP). Namun tiada seorang didapati bersalah terhadap sebarang
kesalahan setakat ini kecuali dibuktikan melalui siasatan dalaman.
*Kedua, laporan itu menyarankan FGV
menubuhkan sebuah pasukan bagi peningkatan besar tadbir urus dan kawalan
perniagaan di peringkat kumpulan dan subsidiari dengan segera.
Langkah itu untuk memastikan syarikat
mengenal pasti amalan, dasar dan prosedur terbaik yang boleh membantu
FGV dari segi penambahbaikan tadbir urus korporat.
*Ketiga, FGV dan Felda perlu
melaksanakan kajian semula perniagaan secara menyeluruh untuk menjadikan
kedua duanya berada di platform sebagai syarikat yang berjaya masa kini
dan masa depan.
Kajian semula itu bermula akhir tahun lalu, FGV dan Felda perlu meneruskan dan menyele saikannya dengan segera.
Platform untuk mengekalkan kejayaan itu
termasuk melalui kepemimpinan yang terbaik dan berstrategi dalam
perniagaan dan operasi model yang baik.
*Keempat, laporan itu berkata, kerajaan
memutuskan melantik Mohd. Isa sebagai pemangku SPAD dan Sulaiman sebagai
pemangku Pengerusi FGV.
Ia bertujuan menegakkan integriti, semangat kesaksamaan bagi siasatan yang sedang berjalan dan tadbir urus korporat FGV dan DOP.
Laporan bebas dan keputusan yang dibuat kerajaan bersama FGV itu tiada kaitan dengan siasatan SPRM.
Dalam laporan itu, dinyatakan tiada
seorang didapati bersalah terhadap sebarang kesalahan setakat ini
kecuali dibuktikan melalui siasatan dalaman.
Siapa sebenarnya yang bersalah sehingga berlakunya kemelut tadbir urusan dalam FGV?
Lembaga siasatan bebas mengenai kemelut
FGV perlu melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti siapa
sebenarnya yang bersalah.
Apa diharapkan, tiada perlindungan atau kemaafan diberikan kepada individu yang melakukan kesalahan itu.
Kesalahan tadbir urus yang berlaku bukan
sahaja menyebabkan FGV dilanda kemelut malah warga peneroka Felda turut
menerima kesannya.
Begitu juga siasatan SPRM.
Pastikan pesalah terlibat dibawa ke muda pengadilan. Jangan ada sesiapa pun yang akan terlepas.
Apa episod seterusnya berhubung kemelut yang melanda FGV?
Rakyat dan warga peneroka Felda menantinya dengan penuh sabar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan