PADA 23 dan 24 Ogos 2016, wakil-wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menghadiri konvensyen “Asian Electoral Stakeholder Forum III” yang berlangsung di Kuta, Bali.
Konvensyen tersebut dihadiri oleh suruhanjaya pilihan raya dari negara Asean, kumpulan pemantau pilihan raya bebas serta kumpulan masyarakat sivil yang mana juga dihadiri oleh wakil daripada Bersih 2.0.
Konvensyen dua hari tersebut berakhir dengan penghasilan sebuah deklarasi penting oleh kesemua delegasi yang menghadiri majlis tersebut.
Walaupun hadir sama pada konvensyen itu, saya tidak pasti sama ada deklarasi dua helai itu dibaca dan difamahi Pengerusi SPR dan keseluruh anggota Ahli Jawatankuasa SPR.
Ingin saya membawa SPR untuk melihat kembali tiga daripada lapan intipati deklarasi tersebut.
Perkara pertama yang terkandung didalam deklarasi tersebut adalah ketelusan badan pengendali pilihan raya, yang mana di Malaysia adalah SPR. Dengan jelas ia tertulis perlu ada undang-undang atau prosedur jelas untuk perlantikan anggota badan pengendali pilihan raya dan rakyat harus dibenarkan oleh memantau segala operasi badan ini dari kesemua aspek.
Perkara kedua adalah mengenai ketelusan pendaftaran mengundi yang mana menyebut bahawa senarai pengundi harus diselenggara, dikemaskini, disemak dan mesti dibuka untuk pemerhatian atau penyemakkan oleh orang ramai dengan cara yang mudah. Malah, ia itu menyebut bahawa jika berlaku apa-apa keraguan atau kecuaian dalam senarai daftar pemilih, maka ia harus diperbetulkan serta-merta.
Perkara ketiga adalah pemantauan pilihan raya oleh kumpulan pemantauan domestik dan antarabangsa. Dengan jelas ia mengatakan bahawa proses ini harus diberi kebebasan untuk melakukan pemantauan dalam semua aspek dan bahagian proses pilihan raya.
Melihat kepada tiga daripada lapan perkara dalam deklarasi ini sudah jelas menunjukkan bahawa SPR telah melanggar sendiri apa yang dipersetujui oleh mereka didalam konvensyen terbuka ini.
Perlantikkan SPR didalam negara kita tidak dijalankan secara terbuka malah tanpa pengetahuan badan NGO apatah lagi masyarakat secara umum.
Perlantikkan ahli-ahli SPR dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang pula dinasihati perdana menteri. Dimanakah adanya penglibatan orang ramai?
Apabila kita bercakap mengenai isu pendaftaran pemilih, adalah jauh daripada apa yang dinyatakan didalam deklarasi. Hari ini di Malaysia, senarai pengundi tidak lagi boleh didapati oleh mereka-mereka yang punyai kepentingan di dalam pilihan raya. Senarai pengundi tidak diedar atau dikongsi melalui digital kepada mana-mana pihak. Parti politik kini harus membawa mesin fotokopi ke pejabat SPR untuk membuat salinan senarai pengundi untuk mengetahui pengundi baru kawasan mereka.
Bukan itu sahaja, malah proses pendaftaran seorang pengundi baru mengambil masa tiga hingga enam bulan. Malah, untuk menukar kawasan pengundian, ia juga mengambil masa tiga hingga enam bulan. Tidak perlulah saya menceritakan tentang kehilangan nama-nama pengundi dari daftar pemilih dan mengenai nama-nama orang yang sudah mati yang masih berada di dalam daftar pemilih.
Kebebasan untuk pihak badan bebas memantau pilihan raya di Malaysia juga adalah satu lagi perkara yang serba kekurangan. Kali terakhir badan bebas seperti Komenwel memantau pilihan raya di Malaysia adalah pada tahun 1990 iaitu 27 tahun yang lalu. Selepas itu, hanya SPR sahaja yang tahu negara atau badan manakah yang memantau pilihan raya di Malaysia. Bagi pemantau domestik pula, SPR memilih untuk menghalang kumpulan badan reformasi pilihan raya seperti Bersih 2.0 untuk melakukan pemantauan. Malah, pada PRU13 yang lalu Bersih 2.0 dituduh sebagai kumpulan pengacau dalam proses pilihan raya.
Myanmar pada pilihan raya tahun 2015, walaupun ketika itu diketuai oleh Jeneral tentera, telah membenarkan pemantauan pilihan raya dari organisasi-organisai yang bebas seperti ANFREL dan Carter Center. Kedua-dua organisasi ini telah menjalankan misi pemantauan pilihan raya sepanjang tiga bulan tanpa sebarang halangan daripada badan pengendali pilihan raya Myanmar.
Sama seperti Thailand, dimana badan pemantau pilihan raya telah dibenarkan untuk memantau proses referendum yang berlangsung pada tahun lalu. Badan bebas domestik telah dilantik melalui proses yang adil untuk memantau proses referendum tersebut.
Dalam konvensyen tersebut di Bali, dengan jelas dan nyata telah diperkatakan bahawa badan-badan pengendali pilihan raya dan badan masyarakat sivil berazam untuk bekerjasama untuk meningkatkan integriti pilihan raya di negara masing-masing untuk melaksanakan deklarasi yang dipersetujui itu.
Tetapi, hari ini kita melihat SPR berdegil untuk berjumpa dan berbicara dengan badan-badan reformasi sistem pilihan raya di Malaysia, dan ini adalah bertentangan dengan apa yang dipersetujui oleh mereka sendiri semasa konvensyen Bali.
Mungkin sudah tibanya masa untuk SPR meletakkan cermin di hadapan muka mereka untuk melihat sendiri apa yang sedang dilalukan oleh mereka untuk memastikan ketelusan sistem pilihan raya di Malaysia.
Pesuruhjaya SPR juga harus membuat keputusan samada mereka mahu menjadi pengadil sebuah perlawanan, atau menjadi pemain di dalam sebuah perlawanan.
* Mandeep merupakan seorang bekas penghuni di rumah pasong Jinjang dan juga merupakan seorang yang berbangsa “dan lain-lain”. Berkicau di @mandeepkarpall
Tiada ulasan:
Catat Ulasan