KUALA LUMPUR: Penjaga gol JDT, Farizal Marlias dikenakan penggantungan
selama setahun oleh Kesatuan Bola Sepak Asia (AFC) susulan insiden
mengasari pengadil perlawanan dalam aksi separuh akhir Piala AFC, 31 Mei
lalu.
AFC melalui Jawatankuasa Tatatertib dan Etika yang mengadakan mesyuarat
tergempar semalam turut mengenakan denda berjumlah AS$40,000
(RM170,626) terhadap pemain 30 tahun itu.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, penjaga gawang utama skuad Harimau
Selatan itu dikenakan sekatan dalam semua perlawanan bola sepak di
seluruh Asia meliputi perlawanan tempatan dan antarabangsa, sama ada
perlawanan persahabatan, tidak rasmi atau rasmi.
"Pihak jawatankuasa menegaskan bahawa intergriti fizikal pegawai
perlawanan mesti dihormati dan dilindunga setiap masa," jelas kenyataan
tersebut.
Terdahulu, aksi wakil negara berdepan kelab dari Filipina - Ceres
Negros FC itu dicemari insiden tidak puas hati Marizal selepas dikenakan
kad merah dan diarah keluar padang.
Namun, pemain itu bertindak menolak bahagian dada pengadil berkenaan
yang jelas menjadi satu kesalahan sekali gus mewujudkan situasi tegang
di Stadium Panaad, Bacolod City.
Sementara itu jurulatih JDT, Benjamin Mora turut dikenakan denda
sebanyak AS$7,000 (RM29,843) kerana mengeluarkan kata-kata kesat
terhadap staf dan pegawai AFC selepas perlawanan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan