Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Penduduk Kluang, Johor mungkin syak wasangka dengan niat
pemimpin DAP hadir ke bazar Ramadan di daerah itu untuk mengagihkan
kurma secara percuma, justeru berlakulah insiden yang menjadi tular
beberapa hari sebelum ini.
Ujar Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul
Rahman, DAP kerap kali digambarkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan
kerap kali mempersoalkan isu-isu sensitif membabitkan hal ehwal Islam,
maka tidak hairanlah insiden sebegitu boleh berlaku.
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Kluang (DAP), Liew Chin Tong dihalau dan
dikasari peniaga kawasan itu, ketika sedang mengagihkan kurma kepada
pengunjung bazar berkenaan.
"Kelakuan DAP sebelum ini, dia memang anti Melayu, anti Islam, banyak
tindak-tanduknya yang mempertikai dan tidak selari seterusnya disifatkan
sebagai anti Islam.
"Jadi, tiba-tiba dia nak pergi bagi kurma tu seolah-olah dia cuba
menarik sokongan dan meraih simpati daripada masyarakat Islam, jadi
kemungkinan masyarakat di sana membaca secara yang tersirat," katanya
ketika dihubungi Antarapos.
Malah katanya, DAP harus bekerja lebih keras dan menonjolkan partinya
sebagai tidak rasis dan membuktikan ia bukan anti-Melayu Islam, seperti
yang sering digambarkan banyak pihak sebelum ini.
"Kalau betul dia (DAP) nak Islam, nak berbaik-baik dengan orang Islam,
kenapa selama ini dia menentang atau mempertikaikan hak-hak dan
kepentingan Islam.
"Jadi bagai saya dia (DAP) perlu buat pembetulan yang menyeluruh kalau
dia memag benar-benar nak melakukan sesuatu yang baik kepada orang
Islam, maknanya dia kena buat secara menyeluruh, kalau tidak dia
terdedah kepada salah faham."
Dalam kejadian lewat petang itu, dua lelaki menghalang Liew dan kumpulannya memasuki bazar berkenaan.
Salah seorang daripada mereka cuba mengasari staf Liew apabila mahu
merampas kamera miliknya. Dalam pergelutan itu, Liew tercedera di
dahinya.
Semalam, polis menahan dua lelaki yang terbabit dalam insiden itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan