Khamis, 15 Jun 2017

Mesyuarat PH tegang di sebalik usaha pinggirkan Muhyiddin, lantik Dr M

 
Mesyuarat dihadiri pimpinan tertinggi 4 parti Jumaat lalu menyaksikan seorang pemimpin Amanah 'melenting' terhadap presiden partinya.


mahathir-muhyiddin-pakatan-harapan 

PETALING JAYA: PKR terpaksa akur selepas usaha giat beberapa tokoh dalam Pakatan Harapan minggu lalu untuk melantik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu.

Ia susulan mesyuarat pimpinan tertinggi PKR yang diadakan di kediaman bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

Sumber memberitahu FMT, usaha itu berlaku sejak minggu lalu, yang menyaksikan ketegangan ketika perbincangan diadakan antara pemimpin kanan 4 parti PH, iaitu PKR, DAP, Amanah dan PPBM, berkenaan organisasi gabungan yang bakal didaftarkan itu.

FMT difahamkan dalam mesyuarat PH yang dihadiri Dr Mahathir pada Jumaat lalu, seorang pemimpin kanan Amanah bangun mempersoalkan presiden partinya, Mohamad Sabu kerana bertindak tanpa persetujuan parti dalam menyokong pengagihan jawatan tinggi dalam gabungan 4 parti itu.

Tindakan pemimpin Amanah itu meninggikan suara dan “menyangkal depan-depan” untuk mengkritik Mohamad memaksa beberapa rakan dari partinya menenangkan keadaan.

Ia berlaku selepas Amanah bersetuju dengan DAP yang enggan memberikan sebarang peranan kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di peringkat tertinggi PH.

DAP dan Amanah mahu Dr Mahathir dilantik mengetuai gabungan itu.

“Muhyiddin mereka tidak mahu,” kata sumber itu, yang menambah tindakan pemimpin Amanah itu melenting “merosakkan mood mesyuarat itu”.

Ketika diminta mengesahkan perkara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang turut hadir mesyuarat itu menafikannya.

“Itu tak timbul. Tak ada. Dalam mesyuarat kita bebas bercakap suara pandangan. Tak sampailah marah-marah,” katanya.

Beliau turut berkata apa yang dibincangkan adalah strategi meletakkan kepimpinan melihat kesesuaiannya.

“Ada beberapa jawatan atau tokoh yang hanya memerlukan daripada segi ‘positioning’ sahaja. Takda kecoh.

“Banyak kemajuan dicapai. Ada cadangan asal, ada cadangan baru. Ada tolak ansur. Cuma ada beberapa benda yang kita tangguh terutama kerana hari itu Jumaat,” kata Salahuddin.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau tidak bersetuju sekiranya PPBM memonopoli kepimpinan PH, gabungan yang kini dalam perancangan menyertai pilihan raya umum akan datang atas satu nama dan logo.

Sebaliknya, Lim mengalu-alukan Dr Mahathir diberikan peranan penting dalam PH.

“Kalau beliau (Dr Mahathir) sedia, maka dia patut diberi peranan penting… Lagipun, beliau bekas perdana menteri,” kata Lim.

Ia juga selari dengan kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang, yang berkata Anwar mustahil menjadi perdana menteri ke-7.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkali-kali menolak cadangan beliau kembali ke jawatan perdana menteri yang disandangnya selama 22 tahun, sekiranya PH berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan tidak menolak kemungkinan itu sekiranya “dipaksa” memikul tanggungjawab itu.

Pilihan Dr Mahathir mengetuai PH dan cadangan meletakkan Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing sebagai penasihat dan presiden dikatakan tidak disenangi beberapa pihak dalam PKR.

Mereka melihat jawatan yang ditawarkan kepada 2 pemimpin PKR itu lebih rendah daripada Dr Mahathir.

Sumber berkata terdapat usaha memulaukan pihak yang enggan berkompromi dengan cadangan membawa Dr Mahathir ke pucuk pimpinan PH, “terutamanya puak-puak otai,” katanya merujuk panggilan bekas penyokong gerakan reformasi yang tercetus selepas penyingkiran Anwar daripada kerajaan pada 1998.

“Bagi mereka, PKR sekarang ialah penghalang utama kepada kesatuan PH,” kata sumber itu lagi.

Tiada ulasan: