Jumaat, 16 Jun 2017

Membidas kritikan Abdul Aziz Isa terhadap Dr Kamarul dan Nasrudin

Danial Ariff bin Shaari
 

SAYA tidak hairan sekiranya Abdul Aziz Isa (AAI) menjadi seorang ahli, penyokong mahupun “symphatizer” Democratic Action Party (DAP). Saya juga tidak berasa pelik sekiranya AAI tidak nampak atau kabur, bahkan menutup sebelah mata terhadap perjuangan paradoks sekularisme DAP dan agenda Kristian evangelis yang berselindung dan berlindung dibawah parti rasis cauvinis ini.

Rentetan daripada pendedahan terhadap motif disebalik autobiografi “Becoming Hannah” oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh, pembatalan upacara Jerusalem Jubilee di Melaka hinggalah kepada pembatalan upacara All Borneo Revival Convocation (ABRC2017) di Sarawak, ternyata bahawa Pakatan Harapan menjadi benteng penyebaran dakyah serta pengkhianatan terhadap Yang DiPertuan Agong (YDPA), Raja-Raja, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang malahan Rukunegara sekalipun.

Tetapi mungkin kerana itulah AAI boleh dilantik menjadi “Special Assistant” kepada YB Chong Chien Jen daripada DAP. Dalam erti kata lain, AAI menjadi salah seorang juru cakap DAP bagi membawa persepsi negatif terhadap orang Islam dan kefahaman mereka.

Dalam kritikan AAI terhadap Dr. Kamarul Zaman Yusoff dan Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, AAI turut memberi tempias caci makinya kepada umat Islam yang menyokong kedua-dua tokoh ini.

AAI menuduh mereka sebagai “pelampau agama dan rasis”, “cuba untuk menjadi tuhan” atau “lebih tinggi dari tuhan” atau “nak jadi Ayah Pin 2.0”, “jahil, bodoh dan bangang”, “orang hilang akal” yang patut “letak otak itu di bawah lutut”, “perangai mengalahkan syaitan”, “bersikap ‘holier than thou'”, “hati keras seperti batu”, “akal sekecil kuman”, “otak masih karat”, “bersikap syaitan dan iblis”, memiliki “otak kedondong asam”, “bersikap dengki”, “berprasangka buruk” dan bermacam lagi cacian yang dilemparkan dalam beberapa tulisan beliau di Facebook.

Tidak padan dengan diri sendiri yang masuk bakul angkat sendiri dengan dakwaan AAI bahawa kenyataan beliau adalah “good press statement to defend the rights of the Christians” dan “moderate view”, media pro-DAP seperti Free Malaysia Today (FMT), Malaysiakini (Mkini), Malay Mail Online (MMO) dan The Malaysian Insight (TMI) sendiri tidak mahu menerbitkan kenyataan atau laporan berkenaan kenyataan AAI dalam isu ini.

Dakwa AAI, “They (media) only interested with Syed Saddiq, Dyana Sofya, etc” dan kerana AAI “not a YB, a Minister, a party leader and too young”. Apabila kenyataan AAI yang dihantar walaupun kepada media pro-DAP tersebut telah diketepikan, AAI pula mempersoalkan “Death of journalism in Malaysia. Are they owned by UMNO?”

Sungguh lucu pemuka-pemuka Melayu DAP seperti AAI ini, seolah-olah inilah ‘standard’ anak-anak didik sekolah demokrasi DAP berhujah.

Ada beberapa kepincangan yang telah dilakukan oleh AAI hasil bacaan saya terhadap beberapa tulisan beliau di Facebook. Saya cerakinkan seperti berikut:

1. Tulisan AAI hanya sarat dengan serangan peribadi terhadap Dr. Kamarul dan Nasrudin
2. AAI menyeleweng fakta sejarah keturunan Nabi dan Rasul sebelum Nabi Muhammad S.A.W.
3. AAI menyeleweng fakta dan konteks penganjuran Jerusalem’s Jubilee di Melaka dan ABRC2017 di Sarawak
4. AAI menyeleweng kedudukan Islam dari sudut Perlembagaan Persekutuan
5. AAI mengheret isu-isu lain yang tidak menjadi pertikaian
6. AAI mengesahkan dakwaan bahawa DAP tidak berpegang kepada prinsip sekularisme yang diperjuangkannya
7. AAI mengiyakan sikap hipokrasi DAP
8. AAI menyeleweng kedudukan Islam dari sudut pandang Islam

Saya akan ulas satu persatu.

Pertama, AAI tidak lain hanyalah memenuhi ruang Facebook beliau dengan kritikan tidak berasas dan lari daripada isu asal disamping sarat dengan serangan peribadi dan ada diantaranya yang melampau terhadap Dr. Kamarul dan Nasrudin.

Saya percaya Perlembagaan Persekutuan melindungi kebebasan bersuara namun kebebasan bersuara yang dinikmati oleh AAI ternyata tidak membawa apa-apa erti dan isi sekalipun bahkan telah disalahguna oleh pembantu istimewa pimpinan DAP ini.

Izinkan saya untuk memetik beberapa cacian beliau yang saya anggap melampau:

“…kalau sudah pakai serban tinggi macam bonggol unta pun boleh mengeluarkan kenyataan seperti orang hilang akal, baik letak otak itu di bawah lutut. Serban tu sila tanggalkan untuk buat batu nisan…makin pakai serban, makin bangang jadinya.”

“Kalau tak faham lagi, sila ambil buku, balut dengan kain serban, tampar muka sendiri, terjun dalam tong simen, dan boleh blah.”

“Perangai mengalahkan syaitan yang dibelenggu di bulan Ramadhan.”

Adakah kenyataan-kenyataan sebegini mencerminkan kefahaman AAI sendiri terhadap “hati yang bersih”, “fikiran yang terbuka” ataupun “peace and unity” yang beliau sendiri ungkapkan? Saya tidak fikir begitu.

Mari kita lihat kepincangan AAI yang kedua apabila saya menyebut AAI menyeleweng fakta keturunan Nabi dan Rasul sebelum Nabi Muhammad S.A.W.

Saya perasan satu tulisan oleh Saudara Ayman Rashdan Wong bertajuk “YAHUDI BUKAN SEJENIS KUIH” berkenaan dakwaan sesetengah pihak yang menyebut bahawa “semua nabi sebelum Rasulullah Muhammad adalah Yahudi”. 

Saya terfikir, mengapa pula tulisan tersebut dibuat namun pada masa yang sama saya menghargainya kerana ia adalah ilmu bagi saya untuk memahami salasilah keturunan sejak Nabi Adam A.S dan perkaitan dengan Yahudi secara jelas. 

Kemudian, tulisan AAI menarik perhatian saya di mana beliau menyebut bahawa “kesemua nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum baginda datang dari keturunan Yahudi”. 

AAI turut menempelak Dr Kamarul dan Nasrudin di dalam tulisan yang sama bahawa “…apakah Dr Kamarul Zaman Yusoff (Pensyarah UUM) dan Nasrudin Hassan (Ketua Penerangan PAS) buta sejarah atau buta hati? Mengaku Islam tetapi kenapa tidak faham sejarah sebelum kedatangan Islam?”

Walhal, penerangan saudara Ayman Rashdan Wong merumuskan bahawa “hanya Nabi Zakariyya, Nabi Yahya dan Nabi Isa sahaja yang boleh dikira sebagai Yahudi”. Ini membuktikan penyelewengan yang serius oleh AAI. Jadi, siapakah yang “buta sejarah”, “buta hati” atau “mengaku Islam tetapi tidak faham sejarah sebelum kedatangan Islam” yang sebenarnya?

Kita terus kepada kepincangan AAI yang ketiga apabila saya menyebut penyelewengan fakta dan konteks penganjuran Jerusalem’s Jubilee di Melaka dan ABRC2017 di Sarawak.

Saya perhatikan bahawa adalah menjadi satu modus operandi bagi Kristian evangelis ini untuk me’mangsa’kan kumpulan mereka bahawa mereka telah dibuli secara undang-undang atau “legally harrassed” ketikamana mereka mendakwa mereka hanya mahu berdoa, menjadi Kristian yang baik ataupun berbuat kebaikan.

Sedangkan slogan, laungan atau mesej yang diratibkan mereka tidak berbunyi bahkan membawa maksud sedemikian.

Lihat ayat-ayat seperti berikut:

“… MENYEDIAKAN JALAN UNTUK KEPULANGAN RAJA KEMULIAAN…”
“…Kebangkitan hebat…”
“…invade this nation…”
“…Kingdom of God…”
“…God’s principles and cultures into Malaysia…”

Dan sekiranya saya boleh menambah beberapa petikan daripada ucapan penceramah-penceramah yang dijemput, juga seperti yang didedahkan oleh Dr. Kamarul:

Tom Hess mengatakan (terjemahan) “…kita lihat bagaimana Tuhan benar-benar sayangkan rakyat Malaysia bahawa Dia akan mengambil semula Malaysia untuk-Nya…”

Afeef Halasah juga mengatakan (terjemahan) “Dan jika ini tidak berlaku, Tuhan akan bertanya, ‘Di mana gereja Malaysia Saya? Di mana anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan Saya? Malaysia milik Saya dan Saya telah berikan ia kepada kamu untuk menjaganya bagi Saya, untuk mengisinya dengan kegemilangan Saya dan untuk menubuhkan Kerajaan Saya.”

Berikutan slogan, laungan dan mesej seperti ini, saya juga telah mengeketengahkan beberapa persoalan serius iaitu:
 
[Pertama, adakah “RAJA KEMULIAAN” dan “Kingdom of God” itu akan mengambil tempat Raja-Raja dan Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua agama Islam atau berdiri sama tinggi dengan Raja-Raja dan YDPA sekaligus menikmati atau merampas hak, keistimewaan, prerogatif atau kuasa Raja-Raja dan YDPA?

Kedua, adakah “Kebangkitan hebat” dan “God’s principles and cultures” ini akan meletakkan agama Kristian bersekedudukan dengan agama Islam ataupun lebih tinggi daripada agama Islam sehingga menjadikan agama Kristian sebagai agama bagi Persekutuan?

Ketiga, adakah matlamat untuk “invade this nation” akan merencatkan usaha memperluas perbuatan, amalan atau upacara agama Islam yang diketuai oleh Raja-Raja dan YDPA sebagai Ketua agama Islam atau menikmati keistimewaan yang sama bahkan menghapuskan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa untuk mengawal pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain kepada umat Islam?]

Tahukah AAI bahawa slogan, laungan atau mesej tersebut berbaur hasutan dan bersifat provokatif dan boleh didakwa dibawah Akta Hasutan kerana cenderung untuk:

“mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan”;

“menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri”;

“mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia”;

“mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh…Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan” yang memperuntukkan bahawa “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas”.

Sedarkah AAI bahawa slogan, laungan atau mesej tersebut boleh membawa kepada kesalahan-kesalahan dibawah Seksyen 128B Kanun Keseksaan terhadap kuasa Yang DiPertuan Agong, Raja atau Yang DiPertua Negeri?

Jika AAI menuduh bahawa Dr. Kamarul dan Nasrudin tidak menghormati Rukunegara, apakah AAI tidak mengira penganjur upacara-upacara ini juga tidak menghormati Rukunegara yang kedua iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”, yang ketiga iaitu “Keluhuran Perlembagaan” dan yang keempat “Kedaulatan Undang-Undang”?

Oleh yang demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawa penganjuran upacara-upacara ini bukan sekadar “bebas mengamalkan ajaran”, menganjurkan “majlis besar”, “mengamalkan agama”, “aktiviti-aktiviti agama”, “upacara keagamaan”, “hak orang Kristian”, atau “melaksanakan kewajiban” seperti yang didakwa oleh AAI dalam beberapa tulisan beliau.

Kemudian, slogan, laungan atau mesej ini bukan sekadar menjadi satu kesalahan di bawah Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan, malahan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan istimewa Islam melalui Perkara 3 namun telah disalah erti oleh AAI. Inilah kepincangan AAI yang keempat.

Di dalam bidasan saya terhadap Wan Ji, saya telah menyebut petikan daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan di dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur [2013] 8 CLJ 890 yang memutuskan bahawa konsep “aman dan damai” yang terkandung dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bermaksud:

“…untuk memelihara kesucian Islam sebagai agama negara dan juga untuk mempertahankannya dari sebarang ancaman terhadapnya atau sesuatu ancaman yang mungkin dan boleh berlaku terhadap agama Islam.”

AAI berhujah seolah-olah bersangkutan dengan satu komentar yang dibuat oleh Wan Ji di Facebook beliau apabila Wan Ji menyebut bahawa “tentang sesuatu cadangan program, jangan sampai melahirkan permusuhan dengan non muslim yang lain”.

Anehnya, upacara-upacara ini bukan dianjurkan oleh orang Islam akan tetapi orang Islam pula yang perlu berwaspada dan menjaga hati orang bukan Islam. Walhal, para penganjur yang mencabar YDPA dan Raja-Raja, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kedudukan Islam dengan slogan, laungan atau mesej bersifat hasutan dan provokatif tidak pula mahu diambil tindakan.

Wan Ji sendiri menyebut bahawa “sebarang elemen yang membawa kepada permusuhan berasaskan agama wajar dielak”, namun apakah Wan Ji dan AAI tidak melihat bahawa para penganjurlah yang “membawa kepada permusuhan berasaskan agama ini” dengan penganjuran upacara sedemikian dan apakah kedua-dua mereka tidak mengira bahawa reaksi serta sensitiviti umat Islam adalah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara?

Menelurusi kepincangan AAI yang kelima, AAI membangkitkan perkara yang tidak menjadi pertikaian dalam isu Jerusalem’s Jubilee dan ABRC2017 ini, antaranya sambutan Krismas, Good Friday dan Ash Wednesday. AAI juga mendakwa bahawa kononnya umat Islam menentang penganjuran upacara-upacara ini kerana ia berlaku dalam bulan Ramadhan.

Ini satu penghujahan yang lucu. Hujah ini sama seperti dakwaan kolumnis TMI, Hafidz Baharom bahawa orang Islam melepaskan geram dan kemarahan kepada akhbar The Star berikutan isu tajuk “Malaysian terrorist leader” kerana umat Islam lapar di bulan puasa. Sedangkan, umat Islam sentiasa konsisten menentang penyebaran persepsi yang salah terhadap Islam, semasa atau diluar bulan Ramadhan.

Sama juga seperti tentangan umat Islam terhadap penganjuran upacara-upacara ini. Sekiranya ia dianjurkan di luar bulan Ramadhan sekalipun, umat Islam tetap akan mempertikaikan penganjurannya.

Selain itu, yang keenam, tulisan AAI membuktikan bahawa DAP adalah sebuah parti yang hipokrit. Sebelum ini, Hannah Yeoh dibela DAP dan pimpinan mereka apabila Hannah Yeoh menukilkan dalam bukunya untuk menyebarkan agamanya menggunakan kedudukan dan pejabat beliau selaku pemimpin politik dan kakitangan awam, lantas mencampur adukkan urusan politik dan agama.

Selaku seorang pendukung DAP, AAI pula mendakwa bahawa “The Christians have very important role to play in this country. The Christian leaders are very much guided by their belief and faith in God”.
 
Ini mungkin menjadi jawapan kepada penglibatan secara aktif pemimpin-pemimpin Kristian DAP dalam politik yang ada diantara mereka turut menjadi penceramah di gereja-gereja berbicara tentang agama dan politik seperti Hannah Yeoh, Tony Pua, Anthony Loke, Teresa Kok dan Lim Guan Eng.

Ini juga mungkin menjadi jawapan kepada penglibatan dan kelantangan persatuan Kristian yang mesra PH seperti Council of Churches Malaysia (CCM) dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dalam Bersih 4 dan 5 yang diakui bersifat dan bermotifkan politik oleh kolumnis MMO Boo Su-Lyn dalam artikelnya “So what if Bersih is pro-Opposition?” ataupun kolumnis Mkini S. Thayaparan dalam artikelnya “So what if Bersih is partisan”.

Sudahlah DAP tidak menerima nasihat kolumnis sekular S. Thayaparan untuk pimpinan Kristian DAP meninggalkan agama mereka di pintu dan tidak mengumumkan agama mereka di ruang umum untuk mengekalkan prinsip sekular mereka, untuk kepincangan yang ketujuh, AAI hanya mengiyakan sikap hipokrasi DAP dan persatuan-persatuan Kristian yang ‘PH-friendly’ dalam isu RUU355 yang dibentangkan oleh Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Sekiranya orang Islam dituduh “tidak menjaga sensitiviti agama” penganjur upacara-upacara tersebut, “mendiskriminasi” atau “menyentuh hak orang bukan Islam”, tolonglah berikan alasan yang munasabah mengapa penentang-penentang RUU355 seperti DAP dan persatuan-persatuan Kristian seperti CCM, MCCBCHST dan Christian Federation of Malaysia (CFM) tidak boleh dituduh sedemikian rupa?

CCM mendakwa bahawa RUU355 adalah cubaan “…rewriting the Constitution in a radical way” dan cubaan ini akan menghakis “liberal secular status of the Constitution…”

MCCBCHST pula mendakwa bahawa “…Federal Constitution…embodies the secular status of our country” lantas menafikan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

CFM pula menyarankan bahawa “…they (RUU355) must be thoroughly discussed and responsibly discussed openly and honestly”.

Sekiranya DAP dan persatuan-persatuan Kristian ini benar-benar mencintai konsep “aman dan damai”, mengapa mereka tidak memilih pendirian yang sama dan sikap tidak campur tangan Christians for Peace and Harmony Malaysia (CPHM) yang berpendapat bahawa “This (RUU355) is beyond us… It is very political”.

Di dalam isu berbuka puasa di Pulau Pinang pula, CPHM melalui kenyataan Timbalan Pengerusinya Lee Min Choon turut berkecuali dan menyatakan pendirian mereka bahawa “Ia perkara membabitkan pemahaman Islam. Saya tidak tahu banyak mengenai Islam, jadi saya tidak sesuai untuk bercakap mengenainya”.

Oleh yang demikian, sekiranya isu RUU355 ini adalah satu isu yang “very political” dan sepatutnya menjadi “beyond” penganut Kristian serta orang Kristian “tidak tahu banyak mengenai Islam”. mengapa pula persatuan-persatuan ini termasuklah DAP yang majoritinya bukan beragama Islam mahu mencampur tangan dan mempersoalkan RUU355?

Terkini, isu upacara-upacara di Melaka dan Sarawak dan kenyataan AAI hanya membuktikan sikap hipokrit dan “double standard” DAP terhadap Islam dan keistimewaannya mengikut Perlembagaan.

Amat malang sekali apabila AAI, yang juga mengakui bahawa beliau membaca Quran dan Bible serta memuatnaik gambar Quran dan Bible yang diletakkan bersebelahan, mengucapkan beberapa kenyataan yang sewajarnya membuka mata kita terhadap kefahaman beliau dan DAP terhadap Islam.

Kepincangan AAI yang kelapan dan terakhir yang akan diulas, adalah apabila beliau mendakwa bahawa “…tidak ada agama yang lebih agung dari agama yang lain…”, “…semua orang adalah sama di sisi Allah tanpa mengira bangsa, jantina dan anutan agama mereka…” dan “Pandangan mereka tentang penganut agama Kristian di Malaysia… merupakan satu kekufuran yang besar kepada Islam yang merupakan agama universal”.

AAI turut memberi petikan daripada Guru Nanak yang berbunyi “sebelum menjadi Sikh, seorang Muslim, seorang Hindu atau seorang Kristian, mari kita menjadi manusia dahulu”.

Saya tertanya-tanya apakah pendirian AAI terhadap ayat-ayat berikut:
 
Surah Az-Zaariyaat ayat 56 apabila Allah s.w.t berfirman “Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”;

Surah Al-Maidah ayat 3 yang berbunyi “Pada hari ini Aku telah menyempurnakan bagimu agamamu serta telah Aku lengkapkan nikmatKu kepadamu dan Aku telah redha Islam sebagai agamamu”;

Surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud “Barangsiapa menghendaki agama selain Islam maka sekali-kali tidak akan diterima dan pada hari akhirat nanti termasuk orang-orang yang rugi”?

Sekiranya ungkapan AAI itu menjadi refleksi kefahaman DAP yang sebelumnya didakwah oleh PAS dan kini Parti Amanah Negara (PAN) (sekiranya berjalan) berkenaan Islam dan oleh itu DAP boleh dikatakan tidak anti-Islam, saya mencadangkan agar umat Islam menolak DAP kerana penghinaan dan salah faham ini.

Sikap diskriminasi DAP terhadap Islam dalam beberapa isu sudah cukup untuk membuka mata kita bahawa mereka tidak akan redha kepada Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam dan agama bagi tanah air kita.



Tiada ulasan: