Oleh Ahmad Farhain bin Mazlan
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Jaringan Rakyat Malaysia Ng Lum Yong
membuat laporan polis terhadap empat individu yang dianggap sebagai
pengkhianat negara, susulan permohonan saman sivil yang difailkan
Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Pihaknya percaya bahawa Ahli Parlimen Subang R Sivarasa Rasiah, Editor
Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, bekas pengarah eksekutif SUARAM
Cynthia Gabriel dan peguam Matthias Chang adalah individu yang terlibat
dalam satu konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.
"Kami datang ke IPD membuat satu laporan yang telah dinyatakan oleh DOJ
tentang 1MDB dan kita telah mendapati memang ini satu rancangan kerana
berita ini telah disiarkan khususnya untuk DOJ ini sudah empat kali
tetapi dia tidak ada (tindakan) susulan.
"Oleh itu kita mendapati ada 4 orang tempatan yang kita syaki terlibat
dalam kes konspirasi politik untuk jatuhkan kerajaan," katanya ketika di
Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul disini hari ini.
Terdahulu DoJ memfailkan permohonan untuk merampas lebih banyak aset,
termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta 2 filem komedi
Hollywood, dalam usaha mendapatkan kembali AS$540 juta wang yang
dikaitkan dengan dana dicuri daripada 1MDB.
Permohonan terbaru itu berkaitan dakwaan kecurian dana 1MDB, syarikat yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau juga berkata, satu perancangan yang rapi telah dibuat oleh
mereka untuk meracuni pemikiran rakyat dengan cara fitnah dan sebaran
berita palsu yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan menjelang
pilihanraya akan datang.
"(Mereka) merancang begitu rapi sekali sebelum pilihanraya yang akan
sampai. Dia akan timbulkan kes itu semula tapi tidak ada susulan
langsung daripada pihak mahkamah Amerika Syarikat.
"Keempat-empat orang yang terlibat ini memang mereka ada satu pertubuhan untuk jalankan banyak kerja untuk jatuhkan kerajaan.
"Kali ini mereka kita syaki sebagai ejen CIA atau ejen kepada Amerika
untuk jatuhkan kerajaan Malaysia, ini ada berkaitan dengan politik
antarabangsa.
"Kerana hubungan antara luar Malaysia memang pesat membangun oleh itu
mereka ingin menggunakan sesuatu untuk jatuhkan imej Malaysia yang giat
membangun dalam segi ekonomi," katanya lagi.
Ujar Lum Yong, beliau berharap lebih banyak lagi pertubuhan yang akan
tampil dan membuat laporan polis terhadap individu-individu ini dalam
masa yang terdekat.
"Ini (laporan) yang pertama saya buat, saya menjangkakan akan ramai
lagi pertubuhan akan tampil kehadapan dalam satu atau dua hari ini untuk
membuat laporan ini,"ujarnya lagi.
Bekas pengasas PKR itu juga meminta pihak berkuasa untuk melucut
kerakyatan empat individu berkenaan yang disyaki menjadi ejen kepada
Amerika Syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan