Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Langkah PAS yang mahu membawa satu lagi Rang Undang-Undang
(RUU) berkenaan akta dana dan perbelanjaan politik adalah disebabkan
sehingga kini tiada parti yang benar-benar serius mengusulkan RUU
tersebut.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berkata demikian
sebagai menempelak Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang meminta
supaya PAS menyelesaikan terlebih dahulu RUU Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang masih 'tertangguh' sebelum berniat
membawa RUU yang lain.
Zuhdi menambah, Amanah berkemungkinan terpaksa menolak RUU baru
tersebut berikutan rakannya, DAP dan PKR dalam gabungan Pakatan Harapan
(PH) tidak bersetuju penggubalan akta berkenaan.
"Oleh itu yang tinggal hanya PAS dan IKATAN yang menyokongnya. Jika
tiada parti yang sanggup bawa, PAS sendiri sanggup untuk membawanya
kerana kami benar-benar serius mengharapkan tergubalnya akta tersebut.
"Cuma yang jadi halangan semua parti dalam PH tidak menyokong RUU bagi
menggubal akta ini. PKR dan DAP telah menyatakan sikap menolak akta
seumpama ini. Amanah juga diyakini akan mengikut sikap PKR dan DAP. Umno
pada peringkat awal dahulu menyokongnya, cuma sekarang mereka yang
menjadi teraju kerajaan masih belum membentangkannya di parlimen,"
katanya dalam satu kenyataan kepada Antarapos.
Zuhdi berkata, langkah PAS itu tidak harus dipolitikkan kerana ia demi kepentingan dan kebaikan semua pihak khususnya rakyat.
"PAS mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, membawa sesuatu untuk kepentingan rakyat termasuklah dalam isu RUU ini.
"Jika sekiranya kerajaan yang bawa RUU ini, PAS sudah memberi komitmen
untuk menyokongnya. Sekiranya Khalid Samad sendiri atau Amanah mahu
membawa RUU persendirian berkaitan sumbangan dan perbelanjaan politik,
asas kepentingan rakyat, PAS akan menyokongnya. Ia bukan perkara yang
perlu dipolitikkan," katanya lagi.
Semalam, Khalid membidas PAS bersabit langkah parti itu yang mahu
membawa satu lagi RUU berkenaan akta dana dan perbelanjaan politik.
"Yang dulu pun belum selesai lagi, apa nak buat yang baru? buat yang
dulu tu betul-betul, macam main-main saja, yang dulu RUU 355 belum
dibahas belum dilulus, tiada apa setakat ini kecuali kecoh sahaja,"
demikian petik kata Khalid.
Zuhdi ketika berucap di Munaqasyah Rakyat semalam berkata PAS mahu
membawa satu lagi RUU Persendirian jika kerajaan gagal meneruskan
cadangan menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
Zuhdi berkata, langkah partinya itu perlu dilihat sebagai satu usaha
untuk menyelesaikan pelbagai isu rasuah yang membelenggu negara ini.
Kerajaan pada tahun lalu bersetuju untuk menggubal Akta Sumbangan dan
Perbelanjaan Politik, yang mana ia menetapkan kesemua ahli politik
supaya mengisytiharkan dana yang diterima atau disiasat atau dikenakan
tindakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan