Khamis, 1 Jun 2017

Dr Mahathir tak mahu jadi PM tapi akan pertimbangnya jika diminta Pakatan Harapan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tiada niat untuk menjadi perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan namun mungkin terpaksa menimbangnya semula jika diminta oleh Pakatan Harapan.
 
Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata, setelah bersara beliau tidak lagi berminat memegang jawatan berkenaan.
 
“Namun saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan saya dalam Pakatan Harapan. Jika mereka ada cadangan itu dan ia dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbangnya.
 
“Tetapi pada ketika ini, saya tidak setuju untuk menjadi perdana menteri. Saya sudah menyatakan selepas saya bersara tidak akan lagi menjadi perdana menteri,” katanya dalam siaran langsung kali kedua di akaun Facebooknya.
 
Apabila ditanya apa peranan akan beliau laksana jika pembangkang mengambil alih Putrajaya, Dr Mahathir berkata beliau bersedia untuk bertindak sebagap penasihat kepada perdana menteri baru.
 
“Saya berpendapat di waktu saya meletak jawatan (sebagai PM) pun, sekurang-kurangnya pandangan saya dirujuk oleh parti memerintah terhadap beberapa isu atau masalah dihadapi kerana saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun, saya mempunyai pengalaman dan maklumat yang mungkin berguna.
 
“Itu sebabnya jika ada kerajaan ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke 14, kalau saya diberi peluang untuk memberikan pendapat saya. Jika ada perkara yang perlu dibincangkan, saya bersedia untuk mengambil bahagian dalam perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi,” katanya.
 
Dr Mahathir berkata, ketika menjadi perdana menteri, beliau mewujudkan pelbagai jawatankuasa terdiri pakar-pakar untuk mencari penyelesaian terhadap apa-apa masalah.
 
Beliau memberi contoh kawalan mata wang yang dikuatkuasakan oleh pentadbirannya ketika krisis kewangan negara adalah antara pelbagai penyelesaian yang hasilkan oleh jawatan berkenaan.
 
“Inilah cara saya. Saya berharap perdana menteri baru akan menggunakan cara ini dan saya bersedia untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa itu,” katanya ketika ditanya apakah langkah pertamanya untuk membantu ekonomi dan masyarakat jika dilantik sebagai penasihat.
 
 

Tiada ulasan: