Jumaat, 16 Jun 2017

DOJ perinci cubaan 1MDB tutup tembelang 'unit dana'

MALAYSIAKINI


Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, dalam memfailkan penyitaan aset ketiga dan terbarunya yang diumumkan malam tadi, mendedahkan fasa terdahulu tidak mendedahkan bahawa lebih dana 1MDB sebenarnya diselewengkan.

Dalam pemfailan setebal 251 muka surat itu, DOJ menerangkan dalam bahagian keempat yang disebut  sebagai fasa "Pilihan Belian Semula" bagaimana wang AS$850 juta yang diperolehi melalui dua pinjaman berjumlah AS$1.225 bilion diselewengkan.

1MDB, melalui anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited membuat  pinjaman AS$250 juta dan AS$975 juta dari Deutsche Bank.

Dana tersebut, seperti dalam fasa sebelumnya, sebahagiannya digunakan untuk kepentingan individu tertentu termasuk eksekutif 1MDB dan Aabar Investments PJS serta para pegawai Malaysia selain saudara-mara mereka.

Bagaimanapun, perbezaan ketara adalah sejumlah besar dana digunakan untuk menutup kelemahan anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited yang mendakwa memiliki 'unit dana' bernilai AS$2.318 bilion dalam Bridge Global Absolute Return Fund (Bridge Global Fund) yang diuruskan oleh Bridge Partners Investment Management Limited. Namun, ini disifatkan DOJ sebagai 'agak tidak bernilai'.

Ini dicapai dengan mengitar semula pinjaman Deutsche Bank menerusi rangkaian transaksi yang dibuat agar kelihatan seolah-olah Brazen Sky telah beransur-ansur menebus unit dana dengan wang tunai, tetapi sebenarnya, menggunakan dana yang sama.

Sebelum melihat cubaan skim yang begitu rumit dan kompleks ini untuk menutup unit dana itu, harus difahami bahawa pemfailan DOJ yang pertama telah menggariskan tiga fasa lain berhubung dakwaan bagaimanadana 1MDB itu disalurkan.

Salah satu daripadanya adalah fasa di mana Good Star dengan 1MDB melabur AS$1.83 bilion dalam usahasama palsu dengan PetroSaudi International dan AS$1.03 bilion daripada jumlah tersebut  disalurkan kepada jutawan Pulau Pinang Jho Low dari Good Star Limited.

1MDB kemudian mengisytiharkan bahwa ia telah menjual pelaburan itu dan menerima AS$2.318 bilion dalam bentuk saham, termasuk keuntungan besar AS$488 juta daripada pelaburan asal.

Ia kemudiannya melaburkan dana tersebut dalam "unit dana" yang diuruskan oleh Bridge Partners Investment Management Limited.

Pada hakikatnya, "unit dana" itu tidak boleh bernilai AS$ 2.318 bilion memandangkan sekurang-kurangnya AS$1.03 bilion telah diselewengkan dan keuntungan tambahan AS$488 juta juga tidak wujud. Justeru, unit dana tersebut bernilai tidak lebih daripada AS$ 800 juta, atau mungkin kurang ataupun langsung tidak bernilai.

Jika demikian, bagaimana pula Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, dalam satu kenyataan pada 12 Okt 2015, mengumumkan bahawa 1MDB telah menebus AS$1.39 juta daripada AS$2.3 bilion "unit dana" yang dipegang oleh Brazen Sky Limited?

Tiada ulasan: