KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Pelancongan yang akan menyaksikan kadar
antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam, akan tetap diteruskan
mulai 1 Julai ini.
Dengan itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed
Nazri Abdul Aziz, menolak laporan sebuah portal berita bahawa
pelaksanaan cukai berkenaan mungkin ditangguhkan.
"Warta (Cukai Pelancongan) ini automatik, mengikut prosedur negara
apabila dilulus oleh Parlimen maka pewartaan itu automatik, ...jadi yang
berkuasa dalam melakukan undang-undang ialah Parlimen dan pewartaan itu
hanya formaliti saja.
"Kalau nak kata belum warta, itu betul, tapi bukan boleh menghalang
kehendak anggota Parlimen kita yang telah sebulat suara meluluskan
kerana cukai ini akan dilaksanakan, dan pasti akan dilaksanakan. Jadi
sasaran kita ialah 1 Julai," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan "Perfect China Seminar - The New Beginning" di sini.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, pelaksanaan kutipan cukai akan
mula dikenakan terhadap hotel dan rumah penginapan yang berdaftar.
Pada sidang Parlimen yang lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan
2017, yang dibentangkan Mohamed Nazri, diluluskan dengan undian
majoriti.
Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Mohamed Nazri
berkata, Cukai Pelancongan itu dianggarkan mampu memberi kutipan
sebanyak RM654.62 juta sekiranya kadar penginapan bermalam bagi
keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60 peratus.
Terdahulu, berucap di hadapan 3,500 perwakilan Perfect China dari
China, Mohamed Nazri berkata, menganjurkan acara di Malaysia adalah
selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara
(NKEA) untuk meletakkan negara ini sebagai hab pilihan acara berkaitan
perniagaan atau Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).
"Malah, semua delegasi Perfect China kini adalah duta pelancongan
Malaysia. Kami berharap anda akan menggunakan sepenuhnya lawatan ini dan
merasai pengalaman keajaiban di Malaysia dan membawa pulang kenangan
manis sepanjang berada di negara ini," kata menteri berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang 23 tahun penubuhan Perfect China, ia telah
melaksanakan lebih 80 insentif lawatan ke luar negara dan sejak 2011
telah menganjurkan program seumpama itu ke Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan