Jumaat, 2 Jun 2017

Calon PM Pakatan Harapan perlu bertanding PRU14 - Fahmi

Oleh Ahmad Farhain
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Individu yang akan diangkat menjadi calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) perlu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) serta mendapat persetujuan daripada majoriti Ahli Parlimen gabungan itu, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
 
Fahmi bagaimanapun berkata, pemilihan calon Perdana Menteri bagi gabungan itu belum menjadi satu keputusan yang kritikal buat masa ini.
 
"Seperti yang disebut oleh Datuk Sri Wan Azizah Wan Ismail, Perdana Menteri nanti akan dipilih dalam kalangan ahli-ahli parlimen yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen, maka individu itulah yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri, jadi prosesnya agak jelas dari segi prosedur dan perlembagaan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Fahmi berkata, proses penentuan calon Perdana Menteri akan berlaku pada masa yang tepat kelak.  
 
"Saya rasa anggota dan pimpinan Keadilan (PKR) satu suara satu hati terutama dalam usaha untuk mengangkat martabat rakyat dan memperjuangkan agenda rakyat, seperti yang saya sebutkan tadi, siapa yang menjadi Perdana Menteri nanti akan dipilih dalam kalangan ahli-ahli parlimen, bila kita tiba ke saat itu, maka proses itu secara automatik akan berlaku", katanya.
 
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata beliau berkemungkinan akan mempertimbangkan jawatan selaku Perdana Menteri sekiranya diminta oleh PH. 
 
Berkata pada siaran langsung di akaun Facebooknya, mantan perdana menteri itu menyatakan beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu pada ketika ini tetapi bersedia untuk bertindak sebagai penasihat kepada perdana menteri baru. 
 
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini pernah menyatakan kerelaan beliau untuk menjadi 'pemanas kerusi' jawatan perdana menteri kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Kongres Nasional PKR baru-baru ini juga riuh dengan sokongan mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri serta desakan supaya Ketua Umum PKR itu dibebaskan dari penjara.
 
 

Tiada ulasan: