Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
RAMADAN begitu pantas meninggalkan kita. Hari ini kita sudah berada pada 21 Ramadan.
Bermakna kita sudah memasuki fasa paling ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman. Hal ini kerana, di dalamnya terkandung malam al-qadar iaitu kemuncak ibadat yang menjanjikan ganjaran pahala lebih 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun.
Saban
tahun kita diingatkan tentang kelebihan lailatulqadar. Macam biasa,
ada yang memberi perhatian dan ramai juga yang buat-buat tidak tahu.
Pendek kata, hanya mereka yang beriman menyakini ganjaran pahala
berlipat-ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Kita
doakan mereka yang masih alpa dan mensia-siakan peluang hidup dalam 10
terakhir Ramadan agar mendapat hidayah Allah SWT dan berubah.
Untuk kita, mari contohi Rasulullah SAW dalam beribadat untuk mencari
malam al-qadar. Nabi SAW menasihatkan umatnya untuk mencari
lailatulqadar pada penghujung 10 malam Ramadan berdasarkan sabda
baginda yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada 10 terakhir
Ramadan.” (Muttafaq ‘alaih).
Daripada 10
malam terakhir itu, baginda memperinci lagi kepada malam-malam ganjil.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam ganjil
di 10 hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari)
Kalau
kita perhatikan, dalam kedua-dua hadis di atas, dimulakan dengan
perkataan carilah. Maksudnya kita kena berusaha dan melakukan pelbagai
ibadat, bukannya berpeluk tubuh membiarkan malam yang penuh keberkatan
itu berlalu begitu sahaja.
Paling minimum,
hendaklah kita solat Isyak dan Subuh berjemaah pada 10 malam terakhir
Ramadan. Yang lebih baik adalah melakukan pelbagai ibadat lain seperti
membaca al-Quran, banyakkan bersedekah, solat tahajud, solat taubat dan
solat sunat lain serta berzikir memuji Allah dan memohon keampunan
Ilahi.
Adapun doa yang sangat dianjurkan kita
membacanya adalah sebagai mana hadis yang diriwayatkan daripada Aishah
r.a.: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana kiranya
saya mengetahui malam lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan
doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang
berikut yang maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau
sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan, oleh itu
maafkanlah salah silapku.”(Riwayat Tirmidzi)
Sepatutnya
selepas 20 hari melalui fasa Ramadan, tubuh badan kita sudah mulai
serasi dengan pelbagai ibadat. Yang utamanya, membaca al-Quran
sementelahan Ramadan adalah bulan diturunkan kitab suci itu. Pada
malamnya pula, tubuh kita sudah biasa dengan solat tarawih dan witir.
Maka ia dapat membantu untuk kita bangun malam menunaikan pelbagai solat
sunat atau ibadat yang lain.
Jika kita
mampu bertahan atau istiqamah dalam beribadat pada 10 malam terakhir
insya-Allah kita termasuk dalam golongan orang yang mendapat keampunan
daripada Allah sebagaimana sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang
siapa menghayati lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang (dan
pelbagai jenis ibadat lain) sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat
Allah, nescaya ia diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat
Bukhari)
Lailatulqadar mempunyai kelebihan
yang amat besar. Diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun
ayat tersebut (surah al-Qadr) ialah Nabi SAW telah menyebut tentang
seorang lelaki daripada Bani Israel yang menggunakan alat senjatanya
untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum atas
perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat tersebut.
Dalam
riwayat daripada Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah menyebut
empat orang Bani Israel yang beribadah kepada Allah selama 80 tahun.
Mereka sedikit pun tidak menderhakai Allah lalu para sahabat kagum
dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu Rasulullah
bahawa Allah menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibril
pun membaca surah al-Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini
lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Nabi SAW
dan para sahabat amat gembira.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan