SINAR ONLINE
Menurutnya, majlis itu yang merupakan platform penting bagi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran dan isu-isu semasa serta langkah menanganinya membuktikan dasar keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam mendahului kepentingan rakyat.
Perdana Menteri turut menyifatkan pembentangan yang dikemukakan oleh wakil-wakil daripada Bank Dunia, Malaysian Rating Corporation Berhad, Deloitte Southeast Asia, Universiti Malaya dan Catcha Group selain kehadiran 236 wakil institusi telah menyumbang kepada perbincangan yang sangat intensif informatif dan produktif.
"Antaranya Dr Deepak Mishra dari Bank Dunia telah mencadangkan agar fokus diberikan kepada peningkatan produktiviti serta pertumbuhan yang lebih inklusif termasuk penambahan tenaga kerja wanita.
"Malaysia Rating Corporation Berhad yang diwakili En Nor Zahidi Alias telah menganjurkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus pada tahun 2018 dan beliau juga mencadangkan agar usaha-usaha diteruskan untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan bagi penduduk bandar bagi menangani isu golongan miskin bandar,"kata Najib dalam entri terbaharunya di laman blog beliau, najibrazak.com, hari ini.
Dalam pada itu, Najib berkata beliau yakin Malaysia mampu mencapai persekitaran global yang berdaya saing dengan membangunkan semangat keusahawanan yang tinggi, digerakkan dengan budaya inovasi dan kreativiti dengan memberi keutamaan kepada ekonomi digital.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu, Malaysia harus lebih proaktif dan agresif menerapkan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam perniagaan yang secara langsung dapat meningkatkan produktiviti.
"Digital Malaysia diberi keutamaan yang tinggi dalam agenda kerajaan dan kita akan memperhebatkan inovasi memandangkan ia adalah faktor pembezaan yang memacu keuntungan dan pertumbuhan jangka panjang," katanya.
Najib seterusnya berkata beliau gembira apabila mendapat maklum balas positif berkenaan inisiatif kerajaan seperti Zon Perdagangan Bebas Digital yang telah disampaikan oleh wakil Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM).
"Dalam menggalakkan pertumbuhan e-dagang, wakil ACCCIM juga telah mencadangkan peningkatan nilai pengecualian cukai ke atas pembelian atas talian," katanya.
Beliau berkata topik lain yang turut ditekankan adalah kepentingan 'sharing economy' dan bagaimana konsep itu boleh memberi manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia yang dibentangkan wakil dari Deloitte Southeast Asia, Kavita Rekhraj.
"Contohnya, seorang pemandu Uber boleh mendapat pendapatan sebanyak RM4,300 sebulan dan seorang hos dalam platform Airbnb boleh mendapat pendapatan lima angka sebanyak RM17,000 jika mendapat tempahan sebanyak 60 malam," tambahnya.
Selain itu, beliau berkata topik berkaitan ekonomi digital turut disentuh yang menyaksikan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Catcha Group, Patrick Grove mencadangkan Malaysia menjadi negara pertama memperkenalkan rangka kerja berkenaan penghantaran barang menggunakan dron selain mendigitalkan semua perkhidmatan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan
Patrick juga menyarankan agar subjek artificial intelligence dijadikan sebahagian daripada kurikulum di sekolah menengah bagi memastikan sistem pendidikan negara dapat menghasilkan pelajar-pelajar yang inovatif, kata Najib.
"Menurut beliau, ini penting dalam memastikan pelajar kita berupaya berubah mengikut keperluan masa hadapan lebih-lebih lagi untuk mengisi pekerjaan yang kini masih belum wujud lagi," katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, topik pendidikan juga banyak dibincangkan dengan wakil Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) telah menyampaikan harapan mereka agar peruntukan biasiswa dan geran bagi pelajar universiti swasta berdasarkan merit diwujudkan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang upaya selain berharap agar kerajaan meningkatkan peruntukan bagi latihan vokasional.
"Insya-ALLAH, kerajaan akan membentangkan bajet yang prihatin terhadap masalah rakyat serta progresif dalam memastikan negara terus maju membangun ke arah Transformasi Nasional 2020 (TN50)," katanya.
Perdana Menteri dijangka membentangkan Bajet 2018 pada Oktober depan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan