Oleh Mazlan Aliman
Persatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan (Anak) amat bersimpati dengan situasi dialami Ketua Pegawai
Eksekutif atau Presiden FGV, Zakaria Arshad, 57, ekoran keputusan
Lembaga Pengarah FGV yang dipengerusikan Isa Samad, yang mengarahkan
beliau dan tiga yang lain bercuti, sementara menunggu isu tunggakan
bayaran penjualan minyak sawit bertapis oleh syarikat Afghanistan,
Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP).
Safitex adalah pelanggan utama DOP
lebih 20 tahun. Proses pembayaran dan syarat kredit kepada Safitex
dilulus dan diguna pakai CEO sebelum Zakaria lagi, dengan syarat bayaran
dan terma kredit selama 90 hari selepas produk dihantar.
Zakaria menjadi CEO FGV pada 1 April
2016, adalah tidak adil jika beliau dipaksa memikul tanggungkawab atas
isu tunggakan bayaran Safitex; walhal ia sedang ditangani.
Anak yakin ada pertelingkahan antara
Isa dengan Zakaria, dimana beliau dilihat enggan menurut kehendak pihak
tertentu yang disebut “pelaburan besar yang tidak masuk akal”.
Untuk rekod, Zakaria adalah mangsa ketiga selepas Dzulkifli Abd Wahab, bekas pengarah besar Felda yang disingkirkan@dipetisejukkan ekoran perbezaan pandangan mengenai penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012.
Dzulkifli disisihkan hingga dihantar
bertugas ke luar negara sebelum pencen tahun lalu. Imej Dzulkifli yang
tercalar teruk tidak dipulihkan, meskipun dilantik sebagai ahli lembaga
pengarah (ALP) Felda dan pengerusi Felda Technoplant Sdn Bhd baru baru
ini.
Faizoull Ahmad, pengarah besar Felda
yang menggantikan Dzulkifli, adalah orang kepercayaan Isa. Beliau juga
menerima nasib yang sama, disingkir dan didakwa SPRM hujung tahun lalu.
Isa adalah pengerusi DOP, seharusnya
beliau mampu menghidu masalah lebih awal dan bukan mengambil tindakan di
hujung jalan. Sebahagian ahli Lembaga Pengarah DOP juga adalah ahli
Lembaga Pengarah FGV.
Anak mendesak perdana menteri campur tangan segera atas kemelut FGV ini.
Kekalkan Zakaria sementara siasatan audit dalaman terhadap DOP ini dilakukan.
Anak berpandangan sepanjang setahun
ini, setidak tidaknya, Zakaria berjaya menurunkan kos pengurusan, kos
pengeluaran di peringkat ladang juga menurun, hubungan antara kakitangan
FGV (19,000 kakitangan) semakin baik dan perolehan syarikat mula
meningkat. Ia boleh diteliti melalui laporan FGV yang dibentang
baru-baru ini.
Anak menyambut baik kesediaan Zakaria
agar SPRM membuat siasatan, tapi mesti menyeluruh khususnya sepanjang
Isa menjadi pengerusi Felda dan FGV!
Adalah menjadi tanda tanya, sejauh
mana status laporan mengenai dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa
Isa yang dihantar ke SPRM sejak sekian lama.
Pada masa sama, Anak membidas
kenyataan lemah Pengerusi Felda Shahrir Abd Samad mengenai kedudukan
Felda selaku pemegang saham terbesar dalam FGV.
Dengan jumlah saham, 33.6 peratus,
mesti ada Ahli Lembaga Pengarah Felda dalam FGV. Pengarah besar Felda
secara automatik, seharusnya adalah ALP FGV. Felda boleh memanggil EGM,
boleh merujuk kepada “article of association” dan memorandum FGV untuk
mengambil tindakan terhadap pengerusi dan mana-mana ALP FGV.
Anak dimaklumkan terdapat tiga nama untuk menduduki ALP FGV dihantar kepada pihak FGV, namun tiada jawapan hingga kini.
Melalui saluran sedia ada, tidak berbangkit soal ketiadaan wakil Felda dalam ALP FGV.
Sejak perlantikan Zakaria sebagai
CEO, Anak mengalu-alukan beliau, bukan sahaja sebagai anak peneroka
Felda Palong 1, tapi pengalaman luas selama 32 tahun dalam Kumpulan
Felda. Seharusnya beliau diberi ruang dan peluang diketika FGV
bermasalah.
Hari ini saham FGV terus jatuh, tinggal RM1.66, kejatuhan mendadak yang dipercayai ada kaitan dengan krisis terkini dalam FGV.
Bagi Anak, tindakan serta-merta yang
harus dilakukan perdana menteri ialah singkirkan Isa daripada FGV dan
apa jua jawatan dalam Felda!
Ayuh perdana menteri, jangan berlengah lagi! – Roketkini.com
* Mazlan Aliman adalah Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan