Kesemua 13 penuntut
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang masing-masing
dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah sehingga sebutan semula kes
pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap rakan seuniversiti
mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, dibenarkan
menyambung semula pengajian di universiti itu.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri
Idris Jusoh berkata keputusan itu diambil pihak UPNM bagi memberi
peluang kepada penuntut berkenaan untuk menyambung pengajian mereka
sehingga mahkamah membuat keputusan terhadap dakwaan membabitkan mereka.
“Tiga belas pelajar yang dibebaskan masih penuntut sah UPNM. Mereka berhak dilayan sebagai pelajar.
“Kesemua mereka akan dibantu kaunselor
bagi mengatasi masalah gangguan emosi dan trauma sekiranya ada,” katanya
selepas menghadiri Majlis Iftar Semarak Kasih Majlis Profesor Negara
(MPN) di ibunegara semalam.
Mangsa, Zulfarhan Osman, 21, meninggal
dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lepas, dipercayai akibat didera
selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan pada 22 Mei lalu.
Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.
Berikutan kes itu, 13 penuntut terbabit
yang kesemuanya berumur 21 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di
sini pada 14 Jun lepas bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 330
Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan
hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan 13 tertuduh,
masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan
menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes itu.
Berkaitan kes sama, selain mereka, lima
lagi penuntut UPNM turut dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan
membunuh Zulfarhan Osman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca
bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati
mandatori, jika sabit kesalahan.
Seorang lagi didakwa bersubahat bersama
lima tertuduh membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 109 Kanun
Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama, yang memperuntukkan
hukuman serupa.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes itu membabitkan enam penuntut itu.
Idris menegaskan bahawa buli bukanlah
suatu budaya bagi mana-mana penuntut universiti kerana ia boleh membawa
kesan buruk sehingga meragut nyawa.
“Ia (buli) seharusnya tidak boleh
berlaku di mana-mana pusat pengajian kerana gejala itu hanya berlaku di
peringkat sekolah,” katanya.
Terdahulu di majlis itu, Idris
melancarkan Buletin MPN (Pemikir Negara) yang merupakan cetusan idea
para ilmuwan bertujuan menjayakan agenda pembangunan negara serta
melaporkan aktiviti dan program golongan ilmuwan.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan