Isnin, 17 April 2017

Tidak perlu pilih kerana PPBM wujud menggantikan Umno - Kamaruddin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tiada keperluan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memilih di antara Umno atau PAS untuk ia menjalinkan kerjasama demi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata PPBM sendiri wujud sebagai pengganti Umno dengan memberi 'lindungan' kepada kaum Melayu.
 
"Tidak timbul keperluan untuk berunding dengan Umno. Sebab kita adalah penggantinya, kita parti yang sedang timbul, dan menerima sambutan hangat daripada orang Melayu untuk mengganti Umno," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Kamaruddin mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya mana-mana parti yang ingin mentadbir Malaysia perlu memilih untuk bekerjasama dengan PAS atau Umno.
 
Menerusi wawancaranya bersama Mingguan Malaysia semalam, Hadi berkata pilihan itu perlu kerana kuasa politik orang Melayu terletak di kedua-dua parti berkenaan sahaja.
 
Pemimpin PAS itu berkata demikian sebagai pandangannya terhadap kewujudan PPBM dan kesannya terhadap kuasa politik orang Melayu, yang didakwa akan memecahkan lagi undi orang Melayu.
 
Diajukan hal ini, Kamaruddin bagaimanapun hairan mengapa Hadi boleh mengemukakan dua pilihan berkenaan, apatah lagi seolah menyokong Umno.
 
"Sepatutnya beliau (Hadi) hanya bercakap soal PAS sahaja, soal Umno biar orang mereka yang bercakap. Sejak bila beliau menjadi juru cakap (Umno)?
 
"Apa pun, ternyata pimpinan PAS tidak mengikuti perkembangan di lapangan. Jika mereka ikut, mereka dapat lihat dan merasakan bahawa PPBM pesat berkembang dan mendapat sambutan hangat daripada pengundi, terutama orang Melayu, sama ada di bandar atau luar bandar," tegasnya.
 
PPBM juga mahu menunggu perkembangan selanjutnya daripada PAS selepas muktamar parti itu pada hujung bulan ini, selepas rundingan antara dua parti berkenaan ditangguhkan.
 
"Bukan keputusan kita yang menghentikan rundingan buat sementara waktu. Ia adalah keputusan PAS untuk menghentikan rundingan. 
 
"Biar mereka selesaikan dahulu dengan muktamar mereka dengan mendapat mandat baru daripada perwakilan mereka. Kemudian selepas muktamar, kita bersedia untuk meneruskan rundingan, jika PAS (bersedia). Kita tiada masalah. Tanpa PAS pun kita sedang berusaha dan masih mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," tambah Kamaruddin.
 
Untuk rekod PAS dan PPBM sebelum ini mengadakan rundingan untuk merintis kerjasama dalam menghadapi PRU14 namun ia 'terhenti' selepas parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
PAS pula kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan seterunya iaitu DAP dan Amanah.
 
Soal kerjasama PAS dan PKR juga akan dimuktamadkan menerusi muktamar selepas parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu didakwa turut 'mengkhianati' kerjasama kerana menjalin hubungan dengan DAP dan Amanah menerusi PH
 
 

Tiada ulasan: