Jumaat, 7 April 2017

Tahniah Takiyuddin dan Gobind

Farhan Darwis
 

Perbahasan antara Gobind dan Takiyuddin selama kira-kira 12 minit semalam penuh beradab, masing-masing meminta kebenaran daripada Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia untuk bangun mencelah dan mengutarakan pertanyaan serta berbalas fakta sesama mereka

KUALA LUMPUR: Kredit harus diberikan kepada ahli Parlimen Puchong, Gobin Singh Deo dan ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan kerana dalam kekalutan dan kekecohan ketika pebentangan usul persendirian ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016, semalam di Dewan Rakyat, kedua-dua pemimpin ini berjaya menunjukkan perdebatan dan perbahasan yang penuh adab dan tatasusila seorang ahli Parlimen yang bertamadun.

Meskipun tidak ramai yang menyedari, sesi persidangan Dewan Rakyat, terutamanya membabitkan perbahasan yang menyentuh isu kontroversi akan berlangsung dalam suasana yang cukup “meriah” dengan kedua-dua pihak daripada kerajaan dan pembangkang akan berteriak sesama sendiri sehinggakan kadang-kalanya mengeluarkan perkataan-perkataan kesat.

Namun begitu, perbahasan antara Gobind dan Takiyuddin selama kira-kira 12 minit semalam tidak meriah seperti kebiasaanya.

Sebaliknya, dengan beradab, masing-masing meminta kebenaran daripada Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia untuk bangun mencelah dan mengutarakan pertanyaan serta berbalas fakta sesama mereka.

Kira-kira 15 minit selepas Pandikar mula memanggil Abdul Hadi, yang juga Presiden PAS membentangkan usul persendiriannya itu, Gobind bangun mencelah Pandikar dan membangkitkan Point of Order 36(2).

Gobind bangun dan merujuk kepada saman pemula yang difailkan Mohamed Tawfik Ismail, anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Dr Ismail Abd Rahman bagi menghalang Abdul Hadi daripada membentangkan usul persendiriannya memandangkan kes itu di bawa ke mahkamah.

Takiyuddin, yang juga Setiausaha Agung PAS kemudiannya memohon kebenaran daripada Pandikar untuk bangun dan menjawab kenyataan Gobind.

Menggunakan dokumen mahkamah bagi satu kes lain, Takiyuddin berkata:”Kes ini telah diputuskan, Hakim Mahkamah Tinggi Asmabi Mohamad memutuskan bahawa permohonan plaintif menyekat Dewan Rakyat dan Marang mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 49, ahli Parlimen tidak boleh dihalang membawa usul, ini berdasarkan Peraturan Mesyuarat,” kata Takiyuddin, membalas hujah Gobind.

Kenyataan itu kemudiannya dijawab semula oleh Gobind:”Sebagai respon kepada sahabat terpelajar saya daripada Kota Bharu, saya bersetuju dalam kita ada kes, injuksi tidak boleh diambil terhadap prosiding Parlimen, dalam perkara ini bukan injuksi.”

Takiyuddin kemudiannya menjawab kenyataan Gobind:”Dengan penuh hormmat kepada Puchong, penyerahan saman pemula kepada satu defendan pada pandangan saya tidak boleh dianggap sebagai perintah mahkamah orang itu menyekat tanggungjawabnya kecuali mahkamah keluarkan satu perintah. Tan Sri hanya menerima satu saman pemula, yang belum dijawab lagi. Pada pandangan saya, diperingkat ini saman pemula belum lagi dalam pertimbangan mahkamah.”

Situasi penuh harmoni dan bertamadun itu kemudiannya bertukar kepada kekecohan biasa di Dewan Rakyat apabila ahli Parlimen Gelang Patah, yang juga Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bangun secara melulu membangkitkan Peraturan Mesyuarat 14, Order of Business.

Kekecohan terus berlangsung walaupun Pandikar berulang kali bertanyakan kepada Kit Siang butiran peraturan mesyuarat yang dimaksudkanya.

“Peraturan Mesyuarat 14, Order of the House,” kata Kit Siang ringkas, tanpa menghuraikan lebih lanjut.

Namun begitu, tanpa menjawab pertanyaan Pandikar, Kit Siang kemudiannya terus menyerang presiden-presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung tindakan BN membenarkan usul persendirian Abdul hadi itu dibentangkan di dalam Dewan Rakyat.

Situasi kemudiannya bertambah gamat dengan ahli-ahli Parlimen bertegang urat sesama sendiri.

Ahli Parlimen Pendang, Othman Abdul kemudiannya menjerit:”Makin tua makin gila!” kepada Kit Siang.

Pandikar kemudiannya berkata:”Saya tahu Peraturan Mesyuarat 14 menyenaraikan macam mana mengatur prosedur, sebut kepada saya mana satu peraturan mesyuarat,” kata Pandikar.

Kit Siang yang juga Penasihat DAP sekali lagi bangun membangkitkan mengenai keputusan Kabinet berhubung RUU 355 yang tidak mendapat persetujuan MCA dan MIC.

Tuduhan Kit Siang itu menimbulkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen BN, antaranya Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyatakan ahli-ahli Parlimen terlibat sengaja membangkitkan pelbagai perkara bagi melengahkan masa untuk menggagalkan pembentangan RUU 355.

Pandikar kemudiannya menegur sikap Kit Siang supaya tidak membuat provokasi dan beliau berhak mengarahkan mana-mana ahli Parlimen yang tidak mendengar arahannya untuk keluar Dewan.

“Hal berkaitan politik bawalah di luar sana, bukan dalam Dewan ini kerana kita mempunyai Peraturan Mesyuarat. Siapa yang berdiri lagi, saya berhak arah keluar,” kata Pandikar.

Tiada ulasan: