Isnin, 3 April 2017

RUU355 Hadi dijangka dibentang Khamis ini

Adrian Wong




Usul rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka dibentangkan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, Khamis ini.

Anggota-anggota parlimen BN juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dalam taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu disahkan oleh seorang anggota parlimen Umno kepada Malaysiakini yang enggan namanya disiarkan berikutan mereka diminta tidak bercakap kepada pihak media.

"Saya rasa ia pada hari terakhir. Pada Khamis. Dan ia hanya bentangkan rang undang-undang itu, saya rasa tak ada perbahasan," katanya

Ahad lepas, Ahmad Zahid berkata usul rang undang-undang persendirian oleh Abdul Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, tidak akan diundi pada sidang kali ini.

Bagaimanapun pada masa itu beliau tidak mendedahkan bahawa usul itu akan dibentangkan.

Anggota Parlimen Umno itu berkata, anggota-anggota parlimen daripada parti komponen BN seperti MCA dan MIC juga turut hadir dalam taklimat berkenaan.

Ditanya sama ada MCA dan parti komponen lain membantah pembentangan usul itu, Anggota Parlimen Umno itu berkata Zahid tidak meminta pandangan tetapi hanya memberi taklimat kepada mereka.

"Tidak, sebenarnya timbalan perdana menteri tak tanya kepada mereka. Hanya taklimat," katanya.

Tiada ulasan: