ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Kerajaan Rusia menerusi kedutaan negara itu di sini telah
menawarkan biasiswa penuh kepada dua pelajar Malaysia bagi mengikuti
program pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Tenaga Nuklear.
Penolong Pengarah, Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia, Alena Belozertseva
berkata, tawaran biasiswa itu adalah sebagai langkah untuk pertukaran
ilmu antara Rusia dan Malaysia.
"Setiap tahun, kami menerima kedatangan kira-kira 600 pelajar Malaysia
untuk melanjutkan pengajian mereka di Rusia terutama dalam bidang
perubatan dan kejuruteraan," katanya sempena majlis sambutan ulang tahun
ke-50 hubungan diplomatik antara Moscow dan Kuala Lumpur, di sini
semalam.
Pada masa ini, kerajaan Rusia menawarkan 11 biasiswa dan dua darinya
diperuntukkan untuk program ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Tenaga
Nuklear.
Sementara itu, Duta Rusia di Malaysia, Valery Yermolov berkata, beliau
berharap akan wujud penerbangan langsung antara Moscow dan Kuala Lumpur
dalam masa akan datang.
"Malaysia adalah sebuah destinasi menarik untuk dikunjungi dan sejumlah
kira-kira 50,000 rakyat Rusia melawat Malaysia setiap tahun,' katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan
Mohamad, yang mewakili kerajaan Malaysia pada majlis itu, berkata,
tawaran dua biasiswa itu adalah petanda baik bahawa negara bekas Soviet
itu ingin berkongsi kepakaran mereka dalam bidang teknologi canggih
dengan Malaysia.
"Hubungan diplomatik ini akan menjadi lebih kukuh dan ia pasti memberi manfaaat kepada generasi akan datang," katanya.
Mengenai cadangan mengadakan penerbangan langsung, katanya, cadangan
tersebut perlu dipertimbangkan oleh Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.
"Rusia adalah sebuah negara yang besar. Penerbangan tidak semestinya
hanya ke Moscow...mungkin ia dari Kuala Lumpur ke bahagian timur Rusia
kerana tempat itu menarik untuk dikunjungi," katanya.
Awal bulan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri
berkata, Malaysia sudah bersedia untuk tenaga nuklear dan laporan akhir
Kajian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) Misi Fasa 1 akan
dibentangkan kepada Kabinet.
Terdahulu, lebih 100 ekspatriat Rusia dan Malaysia menghadiri majlis
sambutan ulang tahun itu dan mereka turut dihiburkan dengan persembahan
pemuzik Rusia yang menggunakan alat muzik tradisional negara itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan