Selasa, 18 April 2017

PRU 14: Pembangkang bakal ‘ketuk pintu’ badan Komanwel

BERITA DAILY

Sebagai anggota Komanwel, sistem pilihan raya Malaysia juga harus berpandukan taraf demokrasi setaraf dengan negara komenwel yang maju

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah hari ini mengesahkan bahawa partinya bakal akan mengemukakan satu memorandum kepada Badan Komanwel untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia memenuhi tuntutan piawaian antarabangsa di dalam pelaksanaan proses pilihanraya yang bersih dan adil.

Selain itu, Nurul yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, turut meminta SPR memanggil Suhakam sebagai pemerhati dalam siasatan awam persempadanan semula pilihan raya.

“Ia selaras dengan peranan Suhakam seksyen 4 (3) dan (5) dalam menasihati badan berkanun seperti SPR dalam aspek hak asasi manusia.”

“Peranan Suhakam sebagai panel pemerhati dalam dapat memberi jaminan hak pengundi dibawah Perkara 119 perlembagaan persekutuan terbela dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Ia juga dapat menjadi badan semak dan imbang kepada SPR,” kata Nurul dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak SPR juga perlu mematuhi standard Artikal 21 (3) Universal Declaration of Human Rights yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan berdasarkan proses pilihan raya yang adil, bersih dan saksama.

Menurut, Nurul sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantau akan bertindak mengemukakan memorandum kepada Badan Komanwel, susulan beberapa keputusan SPR yang tidak munasabah khusunya di kawasan Lembah Pantai.

“Di Parlimen Lembah Pantai, penambahan hampir tujuh ribu pengundi daripada daerah mengundi Tasik Perdana, rata-ratanya undi pos dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dijadikan cek kosong yang menyokong kerajaan.”

“Makanya, rakyat Lembah Pantai pula dinafikan hak untuk menolak kerajaan yang terpalit dengan jenayah rasuah,” tegas beliau sambil menambah pendedahan ini dilakukan oleh cabang PKR Lembah Pantai ketika menghadiri siasatan awam bantahan fasa kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 April 2017.

“Ternyata, kemasukan daerah mengundi Tasik Perdana yang mempunyai pengundi pos dari ibupejabat Polis Bukit Aman oleh SPR, amat tidak munasabah,” tambah beliau lagi.

Sebagai anggota Komanwel, sistem pilihan raya Malaysia juga harus berpandukan taraf demokrasi setaraf dengan negara komenwel yang maju. Kegagalan SPR menunjukkan komitmen menambah baik sistem pilihan raya meletakkan demokrasi Malaysia dalam keadaan bahaya.

Jelas Nurul lagi, SPR masih mempraktikkan proses persempadanan pilihan raya yang bertentangan dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, termasuklah rekomendasi Jawatankuasa Parlimen berkait reformasi pilihanraya.

“Walaupun siasatan awam bantahan persempadanan semula telah masuk fasa kedua, SPR masih gagal melunaskan komitmen dalam mewujudkan sistem pilihan raya yang bersih lagi adil.”

“Sehingga hari ini, nama-nama dua orang pakar topografi dan demografi yang menjadi sumber rujukan SPR untuk melakukan persempadanan semula seperti yang dinyatakan dalam Perkara 115 perlembagaan persekutuan gagal dikemukakan oleh badan pilihanraya tersebut,” katanya.

Bagi, pihak PKR dibantu oleh Dr Wong Chin Huat (Penang Institute) serta Professor Redzuan Othman (Institut Darul Ehsan) yang menjalankan kajian topografi dan demografi dalam mendedahkan ketempangan di dalam proses persempadanan semula.

“Jelas, semua ini membayangkan keterdesakan kerajaan BN memenangi pilihan raya tanpa mengambil kira proses yang adil dan sah. Sikap terburu-buru SPR terbukti juga dalam siaran notis syor-syor persempadanan semula tahun pada 8 April 2017 tanpa memasukan proses persempadanan negeri Selangor.”

Ujarnya lagi, perkara ini bertentangan dengan Perkara 114 perlembagaan persekutuan yang mengambil kira sebagai satu unit Tanah Melayu dan Sabah dalam siaran notis, bukan berasingan mengikut negeri.

“SPR juga terus menafikan hak pembantah untuk diwakili peguam yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang membenarkan representasi peguam dalam setiap sisatan awam.”

“Dalam mengatasi ketempangan proses pilihan raya, berbekalkan semangat “Berani kerana benar”,” tambah Nurul lagi.

Tiada ulasan: