SELAIN parlimen Gua Musang, Jeli juga dianggap sebagai kubu Umno di Kelantan. Pada pilihan raya umum (PRU) lepas kedua-dua parlimen tersebut dikuasai sepenuhnya Umno. Pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah tidak dapat dinafikan masih melebar di kawasan tersebut.
Ini kerana sebelum kewujudan parlimen Jeli, separuh daripada kawasan terbabit berada dalam parlimen Gua Musang. Ditambah pula dua kem tentera juga berada di Jeli. Ia memberi kelebihan kepada Umno.
Kem tentera menjadi penyelamat Dato’ Seri Mustapa Mohamed sejak 2004. Tanpa undi tentera, PAS mempunyai kelebihan.
Namun apakah kali ini PAS mampu membuat kejutan. Oleh itu bagi melihat dari dekat potensinya ikuti temubual LANJUSOH bersama Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad ketika ditemui malam Sabtu lepas.
SEJAUH mana persiapan PAS Jeli bagi menghadapi PRU ke-14 tidak lama lagi?
Di antara persiapan yang kita lakukan bagi menghadapi PRU 14 antaranya menambah bilangan keahlian PAS. Kita mempergiatkan usaha mendaftar pengundi baru yang kita rasa confident mengundi PAS. Kita fokus gerak kerja itu.
Kita juga mengadakan sirisiri ceramah yang lebih kerap untuk memberi penjelasan kepada rakyat. Pada masa yang sama kita melakukan ziarah-ziarah ke rumah pilihan dan hospital.
Bila gerak kerja itu bermula?
Gerak kerja tersebut bermula separuh kedua tahun lepas. Ini kerana kita menjangka PRU akan diadakan tahun ini.
Bagaimana kerjasama KeADILan yang mempunyai kerusi di Dun Kuala Balah?
Hubungan PAS dengan KeADILan bertambah baik. Bagaimanapun tidak dinafikan ada yang perlu kita baiki dari semasa ke semasa.
Kita usaha kurangkan masalah yang berlaku. Secara umumnya boleh dikatakan semakin baik berbanding sebelum ini. Ini kerana pertemuan lebih kerap berlaku sekarang dan apabila ada masalah kita cuba selesaikan segera. Kita selesai secara anak beradik.
Dikatakan ramai bekas ahli dan penyokong Umno di Jeli menyertai PPBM. Bagaimana pula hubungan parti itu dengan PAS?
Setakat hari ini hubungan kita dengan PPBM baik. Bagaimana pun ia tertakluk kepada keputusan pimpinan di peringkat pusat. Setakat ini Alhamdulillah hubungan terjalin dengan baik di Jeli. Nampak ada ruang-ruang kita bekerjasama.
Mengenai ahli dan penyokong Umno yang menyertai PPBM di Jeli saya difahamkan agak ramai.
Mereka memberitahu berjaya mendaftar keahlian parti itu di Jeli sekarang seramai 2,000 ahli. Itu berdasar kepada maklumat yang kita terima.
Mungkinkah PPBM juga dapat membantu PAS di Jeli?
Secara umumnya ia akan memberi kelebihan kepada PAS di Jeli.
Bagaimana pula perkembangan Parti Amanah Negara (PAN) di Jeli?
Setakat yang kita pantau, tidak nampak parti itu mempunyai pengikut di Jeli. Kita di Jeli mengambil sikap abai (ignore) iaitu tidak membuat sebarang kenyataan mengenai PAN sehingga memberi ruang kepada parti itu untuk memberi reaksi balas. Kita mengambil pendekatan tidak cakno terhadap parti itu. Kita hanya buat kerja kita sahaja.
Adakah ini bermakna PAN tiada kepimpinan di Jeli?
Keadaan itu yang kita lihat di Jeli sekarang. Berdasar kepada pemerhatian pengaruh mereka hanya kecil.
Jeli sama juga Gua Musang dikenali sebagai kubu Umno. Jadi bagaimana usaha untuk memecah kubu tersebut menjelang PRU ke- 14?
Kita membuat kerja secara berfokus. Kita memberi keutamaan kepada Dun Air Lanas. Insya-Allah dengan isu-isu semasa yang berlaku sekarang, Dun Air Lanas ada peluang untuk menyebelahi PAS semula. Paling tidak kita boleh sumbang satu lagi Dun kepada kerajaan negeri yang ada sekarang. Itu target kita yang paling minima.
Apa faktor keupayaan Umno bertahan di Jeli sejak tiga penggal lepas?
Sebelum kehadiran Dato’ Mustapa Mohamed pun Jeli merupakan kubu Umno. PAS tidak pernah menang di kerusi parlimen Jeli sebelum ini kecuali pada PRU 1999. Ini kerana Jeli sebelum ini merupakan sebahagian daripada Gua Musang yang menjadi tapak kepada Tengku Razaleigh. Separuh kawasan parlimen Jeli sebelum ini berada dalam parlimen Gua Musang. Pengaruh Tengku Razaleigh tidak dinafikan agak kuat sehingga ke Jeli.
Kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada pembangunan Jeli. Sejauh mana perkembangannya sekarang?
Peruntukan yang diberi kerajaan negeri kepada setiap Dun di Jeli sekarang boleh dikatakan sudah memadai.
Kalau ada peruntukan yang lebih lagi dapat mempercepatkan arus pembangunan di Jeli. Melalui peruntukan itu tidak menyulitkan tiap-tiap Dun melaksanakan agenda untuk rakyat.
Apa perancangan pembangunan di Jeli pada masa akan datang?
Di kawasan tanah-tanah tinggi di Jeli yang bersempadan dengan Gerik agak sesuai ditanam dengan sayursayuran, memandangkan cuacanya sederhana. Terdapat banyak kawasan tanah tinggi di sini. Kawasan itu sesuai dengan tanaman sayursayuran kerana keadaan cuacanya.
Jadi kita berharap kerajaan negeri boleh memanfaatkan secara lebih agresif lagi pada masa akan datang.
Boleh jadi pusat pertumbuhan baru di Jeli dengan pengeluaran sayur.
Harapan PAS Jeli kepada pendokong di bawah?
Kita meningkatkan lagi kerja-kerja penggantungan kepada Allah Taala.
Solat hajat menjadi keutamaan kepada setiap pendokong Islammenghadapi sebarang situasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan