Ahad, 2 April 2017

Kenapa bukan kerajaan bentang RUU355?

Oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz

 


Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertarikh 29 Mac 2017 bahawa kerajaan persekutuan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah 1965 (RUU 355) di Parlimen berikutan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional. 

Keputusan ini jelas bercanggah dengan kenyataan perdana menteri sendiri dalam laporan mStar bertarikh 1 Disember 2016 yang memberi jaminan bahawa  pindaan terhadap Rang Undang-Undang 355 akan diambil alih pihak kerajaan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dalam kenyataan bertarikh 17 Mac 2017 telah berjanji bahawa kerajaan persekutuan akan mengambil alih pindaan RUU tersebut untuk dibentangkan di Dewan Rakyat atas komitmen yang diberikan oleh perdana menteri untuk menterjemahkan hasrat tersebut.

Selain itu, ia juga selari dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini bertarikh 24 November 2016 yang menyatakan kerajaan persekutuan akan mengambil tanggungjawab membawa RUU ini setelah urusan berkenaan tatacara dan peraturan Dewan Rakyat selesai.

Abim mendesak pihak kerajaan untuk tampil dengan penuh tanggungjawab memberi penjelasan sepenuhnya kepada umat Islam berhubung pendirian sebenar dan jaminan yang telah diberikan berhubung isu RUU 355 ini.

Penjelasan ini amat penting untuk membersihkan imej kerajaan hari ini yang dilihat dengan sengaja memperguna sentimen agama bagi tujuan kepentingan politik semata-mata.

Bagi Abim, polemik RUU yang berlaku hari ini amat menyedihkan apabila usaha memartabat Mahkamah Syariah yang menjadi tanggungjawab kita bersama telah tercemar dengan sindrom ketakutan ramai pihak akibat dari tindakan tidak bertanggungjawab yang menunggang sentimen ini untuk manfaat sokongan politik.

Abim sentiasa berlapang dada bersama dengan mana-mana pihak untuk memartabat kedudukan Mahkamah Syariah, namun ia harus bertunjangkan niat yang ikhlas dan murni serta diiringi semangat perbincangan dan musyawarah dengan semua pihak demi kepentingan masa depan Islam.

Prosedur serta road map yang jelas dari peringkat awal hingga ke pelaksanaan juga harus dirangka sebaik-baiknya bagi mengelakkan implikasi buruk di kemudian hari.

Maka, Abim mengulangi tuntutan untuk kerajaan tampil memberi penjelasan yang menyeluruh kepada umat Islam sekiranya kerajaan benar-benar bertanggungjawab mahu memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz ialah Setiausaha Agung Abim

Tiada ulasan: