YAN
– Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan memberi penjelasan di
mahkamah sekiranya kerajaan Pulau Pinang meneruskan hasrat memfailkan
saman terhadap badan itu susulan dakwaan penemuan ‘maklumat mengejutkan’
tentang persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu.
Pengerusinya,
Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR tidak akan menghalang
sebaliknya melihat perkara itu jalan penyelesaian terbaik.
“Kita
tidak boleh halang, ini bukan kali pertama, penjelasan akan diberi di
mahkamah dan kita serah kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya
pada sidang media selepas merasmikan Program #Jom Kita Daftar Undi –
Singgah Mesra SPR di Kampung Ruat di sini, hari ini.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan
negeri Pulau Pinang yang merancang untuk menyaman SPR susulan dakwaan
penemuan ‘maklumat mengejutkan’ berhubung persempadanan semula kawasan
pilihan raya negeri itu.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan enggan mendedahkan maklumat tersebut.
Dalam
perkembangan lain, Mohd Hashim berkata, data Daftar Pemilih pada suku
keempat 2016 mencatatkan seramai 14,305,849 warganegara telah mendaftar
sebagai pemilih.
Berdasarkan
data Jabatan Pendaftaran Negara sehingga 4 Jan tahun ini, jumlah
warganegara yang berusia 21 tahun dan ke atas ialah 18.16 juta orang,
katanya.
“Ini
bermakna jumlah warganegara yang belum mendaftar sebagai pengundi
menurun kepada 3,858,471 orang berbanding 4.1 juta orang pada suku
ketiga tahun lalu,” katanya.
Katanya,
angka 4.1 juta itu sukar untuk berganjak namun menerusi usaha-usaha yang
dijalankan oleh SPR dan sokongan semua pihak telah berjaya meningkatkan
kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai pemilih.
“SPR yakin dan percaya jumlah ini akan terus berkurangan bagi tempoh suku pertama 2017, yang sedang diproses ketika ini.
“Usaha
yang dijalankan oleh SPR dengan kerjasama pihak lain termasuklah swasta
dan media, akan terus meningkatkan lagi jumlah pendaftaran pemilih pada
masa akan datang,” katanya.
Sementara
itu, katanya, peningkatan drastik terhadap daftar pemilih berlaku di
kawasan bandar dan luar bandar memandangkan usaha mendaftar pengundi
dijalankan secara serentak di seluruh negara.
“Bagaimanapun,
terdapat beberapa kebimbangan SPR iaitu dari segi sikap golongan yang
tidak mahu mendaftar sebagai pemilih, serta keengganan pengundi
berdaftar untuk keluar mengundi, selain faktor tempat mengundi yang
jauh.
“SPR
berperanan memikirkan jalan terbaik bagi memudahkan pengundi berdaftar
untuk mengundi, jika di negara lain ada buat perubahan besar, bawa kotak
undi ke dalam kampung tetapi jika kita buat SPR akan dituduh
macam-macam,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan