Hari ini saya dukacita dan berusaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib kerana ia juga telah dilarikan
A Kadir Jasin
SEMALAM, 3 April lapan tahun lalu, saya adalah antara rakyat jelata Malaysia yang berasa lega-lega dan bersyukur tapi tidak sampai tahap gembira.
Lega dan bersyukur kerana telah menang dan “hadiahnya” adalah Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Saya adalah antara orang yang secara terang dan terbuka berkempen tamatkan pemerintahan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang telah dilarikan (hijacked) oleh budak-budak tingkat empat.
(Anak, bakal menantu kemudian jadi menantu, seorang usahawan Cina, seorang wartawan dan beberapa orang budak Oxbridge.)
Hari ini saya dukacita dan berusaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib kerana ia juga telah dilarikan.
Malahan berkali-kali ganda lebih teruk daripada kerajaan Abdullah. Kerajaan Najib dilarikan oleh anak-bini, Cina Jho Low, anak tiri pembikin filem separa lucah (Riza Shahriz Abdul Aziz), Arab misteri, ketua-ketua Umno makan dedak, ketua-ketua Barisan Nasional yang oportunis dan berpuluh-puluh penasihat yang memusnahkan.
Kerajaan Najib yang menjual harta negara, menjadi boneka negara China dan “poodle” Singapura. Kerajaan yang membawa berbagai bencana, bala dan musibah kepada negara dan rakyat jelata.
Skandal 1MDB, SRC International, FGV dan Felda, beban GST, nilai ringgit yang merudum, kos sara hidup yang melambung, MH370 yang hilang lesap, MH17 yang ditembak jatuh, banjir besar, hospital terbakar dan senarainya berterusan.
Pastinya ini bukanlah contoh sebuah kerajaan dan negara yang diberkati, diredhai dan sejahtera.
Tidak ada hadiah ulang tahun untuk Najib tetapi kutukan. Buat apa kita berikan hadiah kepada beliau. Media massa arus perdana milik beliau pun nampaknya tidak meraikan ulang tahun pemerintahan beliau.
Cuma kutukan saya lebih santun daripada kutukan beliau. Najib pernah panggil peneroka Felda yang tidak sokong Umno/BN “haram jadah” dan blogger Umno yang bercakaran “bangang”.
Saya panggil dia “haram zada”. Haram daripada bahasa Arab (حرام) dan zada daripada bahasa Parsi yang bererti anak. Haram zada adalah istilah bahasa Hindustan.
Saya kata “haram zada” kerana dia baharu saja cipta satu lagi rekod peribadi – personal best – yang menyusahkan rakyat jelata iaitu kadar inflasi paling tinggi dalam masa lapan tahun.
Lapan tahun Najib perintah negara inilah hadiah beliau kepada kita – kadar inflasi paling tinggi. Melebihi 4.5 peratus.
Ini bukan rekaan saya atau khabar angin yang saya pungut di tepi jalan seperti pernah dituduh oleh budak-budak suruhan Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah apa yang Bank Negara Malaysia kata.
Lagi satu contoh sumpahan era Najib. Malaysia yang dulunya negara emas tapi di bawah sentuhan beliau ia menjadi batu. Sang Kelembai pun tak seteruk itu.
Bukan inflasi saja mencecah langit. Hutang luar negara pun sama. Bank Negara kata hutang luar negara naik kepada RM908.7 bilion (RM908,700,000,000).
Najib berikan kita racun. Eloklah kita pulangkan jadam.
Maka marilah kita buat sesuatu yang konkrit dan bersejarah demi negara dan rakyat jelata – kita nyahkan Najib-BN jauh ke Laut Khalzum
Tiada ulasan:
Catat Ulasan