Jumaat, 14 April 2017

FAM bakal ‘hilang’ RM34 juta jika kalah kes mahkamah, kata presiden

 Bernama

Ekoran dua kes mahkamah itu, berkemungkinan tiada lagi peruntukan untuk skuad kebangsaan dan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin terpaksa menanggung kerugian RM34 juta berikutan dua kes melibatkan MP & Silva dan satu lagi syarikat yang ditandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia.

Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah ekoran dua kes mahkamah itu, berkemungkinan tiada lagi peruntukan untuk skuad kebangsaan dan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Dalam catatan terkini di laman Facebook Football Association of Malaysia (Official) hari ini, baginda menyelar barisan exco sebelum ini yang tidak bertanggungjawab dengan menandatangani perjanjian yang tidak memihak kepada kepentingan FAM.

“Saya amat kecewa dengan barisan-barisan exco sebelum ini yang tidak bertanggungjawab dalam FAM di mana pada masa ini, FAM berhadapan dua kes iaitu satu kes dengan MP & Silva, di mana sekiranya kita kalah, FAM terpaksa membayar RM25 juta termasuk tambahan RM9 juta lagi jika kalah dengan satu lagi syarikat yang kita tandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia.

“Bagaimana FAM boleh tandatangani perjanjian yang lebih memihak kepada pihak lain? Sepatutnya keutamaan, kelebihan dan ‘financial securities’ (jaminan kewangan) serta apa sahaja kepentingan adalah untuk FAM tetapi sekarang ini apa yang berlaku adalah perjanjian-perjanjian yang lemah yang telah ditandatangani oleh FAM dan meletakkan badan induk ini dalam keadaan yang susah.

“Buat masa ini nampaknya walaupun FAM akan terima kemasukan duit, tetapi tetap duit-duit tersebut akan keluar semula jikau kalah dengan kes-kes berkenaan,” titah baginda.

Tunku Ismail bertitah baginda telah berhubung dengan rakan dari Singapura dan menggunakan kenalan yang ada dalam kerajaan negeri Johor untuk mengadakan satu pertemuan dengan pemilik atau orang atasan MP & Silva bagi menyelesaikan kemelut itu di luar mahkamah.

“Jika FAM tiada duit, tiadalah peruntukan untuk pasukan-pasukan yang bertanding di dalam Liga Malaysia dan juga skuad kebangsaan. Oleh sebab itu, saya katakan perkara ini adalah sangat serius,” titah baginda.
MP & Silva, yang berpejabat di London dan Singapura, adalah syarikat yang menguruskan hak penyiaran antarabangsa dan ditugaskan untuk membantu FAM mendapatkan pelaburan daripada penaja berpotensi bagi Liga Malaysia.

Berdasarkan jaminan pendapatan yang bakal diberikan kepada FAM oleh MP & Silva bagi tempoh 2016-2021 ialah RM420 juta (RM70 juta setahun), 2022-2024 RM255 juta (RM85 juta setahun), 2025-2027 RM276 juta (RM92 juta setahun) dan 2028-2021 RM309 juta (RM103 juta setahun).

Melalui perjanjian ini, FAM bakal menerima 40% daripada RM70 juta setahun untuk tempoh enam tahun pertama dengan 30% akan diagihkan kepada pasukan Liga Malaysia.

Selebihnya akan digunakan untuk mengendali Liga Malaysia, pengadilan serta pembangunan bakat muda.
-Bernama

Tiada ulasan: