ANTARAPOS.COM
TELUK INTAN: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dan dalam
keadaan berdarah ditemui ditinggalkan dalam kotak beralaskan kain di
belakang sebuah rumah di Taman Seri Intan 2, Hutan Melintang, dekat sini
awal pagi Khamis.
Kehadiran bayi malang itu disedari seorang suri rumah S. Vasanthi, 49,
bersama suaminya selepas terdengar tangisan bayi berkenaan pada pukul 3
pagi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata
penghuni rumah itu kemudiannya mengambil bayi malang tersebut sebelum
dibersihkan dan membuat laporan di Balai Polis Hutan Melintang untuk
tindakan lanjut.
“Bertindak daripada laporan yang diterima, pasukan polis telah ke
lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati keadaan belakang rumah
pengadu adalah lorong gelap yang berhubung dengan jalan utama,” katanya
dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya bayi perempuan cukup sifat itu telah dihantar ke Klinik
Kesihatan Hutan Melintang sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk
rawatan lanjut.
Setakat ini pengadu tidak dapat mengesyaki sesiapa ibu kepada bayi
tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan ibu kepada
bayi perempuan berkenaan, kata Wan Hassan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan