Pengarah Pusat Penyelidikan PAS pusat, Dr Zuhdi Marzuki menyifatkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar bakal memberikan kelebihan kepada parti itu.
Berucap dalam satu ceramah perdana di Taman Melewar, Gombak malam tadi, Zuhdi berkata pandangan itu dibuat berdasarkan peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta trend sokongan pengundi Cina yang semakin kembali kepada BN.
Zuhdi yang juga AJK PAS pusat berkata, pertembungan dua penjuru antara PAS dan BN menyaksikan pengundi Cina berpihak kepada BN manakala pengundi Melayu berpecah antara dua parti itu.
Katanya lagi, pertembungan dua penjuru antara Pakatan dan BN pula menyaksikan situasi sama seperti pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu di mana majoriti pengundi Cina mengundi Pakatan dan majoriti pengundi Melayu mengundi BN.
"Kalau bertanding tiga penjuru, sejumlah pengundi Cina tidak akan pergi kepada Pakatan Harapan. Jadi peluang kita lebih besar kerana sokongan pengundi Melayu terhadap PAS sekarang lebih kurang sama dengan BN," kata Zuhdi.
Berdasarkan perangkaan terbaru Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Sungai Besar mempunyai 67.18 peratus pengundi Melayu, pengundi Cina (31 peratus), pengundi India (1.91 peratus dan kaum lain (0.23 peratus).
Mengulas lanjut Zuhdi yang juga ketua penerangan PAS Perak berkata kajian pusat penyelidikan parti itu mendapati PAS hanya ketinggalan 399 undi sahaja kepada BN di Sungai Besar.
"Perubahan boleh berlaku jika kita kerja keras. Dengan sokongan pengundi Melayu dan sedikit lonjakan sokongan pengundi India, kita ada peluang," katanya lagi.
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum lalu kosong berikutan anggota parlimennya terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.
Pilihan raya kecil untuk kedua-dua kawasan itu akan diadakan pada 18 Jun depan. PAS bakal mengumumkan calonnya bagi PRK Sungai Besar esok.
Sementara itu, siri ceramah perdana itu sepatutnya menampilkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi sebagai penceramah utama selain Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Exco negeri Selangor Dr Zaidy Abdul Talip serta Dr Zuhdi.
Ceramah yang dijadual bermula sekitar jam 9 malam itu hanya bermula pada 10 malam di mana pengerusi majlis memaklumkan Abdul Hadi dalam perjalanan ke lokasi ceramah.
Bagaimanapun, selepas beberapa pemimpin berucap sekitar jam 11.30 malam hadirin dimaklumkan Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen awal pagi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan