Oleh ZULKIFLEE BAKAR
PILIHAN RAYA Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini bertujuan mencari pengganti wakil rakyat bagi membolehkan segala perancangan pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.
PRK ini juga bagi memastikan rakyat di kedua-dua kawasan tersebut mendapat seorang Ahli Parlimen baharu yang akan membawa suara mereka ke peringkat Pusat. Oleh itu mana-mana parti atau ahli politik tidak harus menjadikannya medan untuk tujuan lain, melainkan demi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun dalam tempoh beberapa hari ini kita menyaksikan ada sesetengah parti dan ahli politik yang seolah-olah tidak mempertimbangkan faktor itu. Sebaliknya apa yang kita lihat mereka mahu menggunakan PRK berkenaan tempat melunaskan agenda peribadi atau parti masing-masing.
Sempena pengumuman calon oleh parti-parti politik yang akan bertanding pada kedua-dua PRK itu hari ini, berikut penulis paparkan antara beberapa adegan politik yang berlaku sebaik sahaja kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diisytiharkan kosong berikutan kematian Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Allahyarham Datuk Noriah Kasnon;
l Melobi menjadi calon - terdapat ahli politik yang begitu ghairah mahu menjadi calon khususnya untuk Barisan Nasional (BN). Walaupun ada antara mereka sudah bertaraf ‘kitar semula’ dan pernah berpenggal-penggal menjadi YB, namun tetap ada hati mahu menjadi calon sekali lagi.
Pelbagai usaha mereka lakukan termasuk secara tiba-tiba rajin pula turun padang bertemu rakyat dan berkunjung ke masjid-masjid untuk beramah mesra dengan jemaah. Satu lagi pendekatan lobi dilakukan adalah mengharapkan simpati sedangkan sudah terbukti dalam beberapa PRK sebelum ini tidak akan membuahkan hasil.
Tidak cukup dengan itu, dalam usaha menjadi calon juga, ada individu yang sanggup bertelagah sesama sendiri dan memburuk-burukkan kawan, walaupun suatu ketika mereka pernah ‘sekapal’ bagi memenangkan parti.
Penulis diberitahu bagaimana ada individu yang terlalu berhajat mahu menjadi calon bercadang melakukan tindakan mensabotaj parti jika dia tidak terpilih. Ini termasuklah mahu menghasut pengundi-pengundi supaya tidak menyokong BN.
l Medan uji siapa kuat - Ketika ini berlaku perbalahan politik antara pakatan pembangkang dengan Pas. Pertembungan paling ketara ialah apabila Pas enggan berunding dengan pakatan tersebut manakala PAN pula berhasrat meletakkan calon.
Dalam masa yang sama di Sungai Besar, penulis diberitahu oleh satu sumber dalaman bahawa PKR benar-benar berhasrat untuk bertanding di kawasan tersebut. Disebabkan hasrat itulah wujudnya tekanan terhadap tiga exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor supaya mereka memastikan Pas tidak bertanding.
Bagaimanapun tekanan itu yang turut dilakukan oleh DAP selaku sekutu terkuat PKR ternyata tidak menggugat ketegasan Pas untuk bertanding di kedua-dua kawasan berkenaan.
Melihat keadaan itu, rakan baik PKR dan DAP, PAN yang diuar-uarkan akan meletakkan Presidennya Mohamad Sabu bertanding di Sungai Besar ‘tumpang semangkuk’ untuk menyerang Pas. Mereka menyatakan tidak gentar dengan jentera Pas.
Kenyataan itu agak melucukan kerana semua wakil rakyat PAN berasal daripada Pas dan mereka menang dalam pilihan raya lalu atas tiket Pas serta melalui kekuatan jentera Pas. Kalau benar PAN begitu yakin bahawa mereka ada kekuatan sendiri sepatutnya semua wakil rakyat mereka meletakkan jawatan dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.
Tetapi PAN tidak berbuat demikian sebaliknya berharap untuk menjadikan Presiden mereka sebagai Ahli Parlimen sekali lagi. Kalau menjadi kenyataan, ini bermakna Selangor negeri kelima yang Presiden mereka itu bertanding selepas Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang.
Bagi Pas pula, PRK kali ini sudah tentulah akan menjadi medan terbaik untuk membuktikan bahawa mereka ‘boleh hidup’ tanpa pakatan pembangkang. Justeru pemimpin-pemimpin Pas melihat kehadiran PAN bersama Mohamad Sabu tidak akan menjadi ‘kudis gatal’ kepada parti itu.
l Melaksanakan agenda politik peribadi - salah satu cabaran untuk BN ialah bagaimana ada dalam kalangan pemimpin parti itu akan menjadikan kedua-dua PRK tersebut sebagai medan melunaskan agenda politik peribadi.
Individu berkenaan tidak memikirkan betapa pentingnya BN mengekalkan kerusi berkenaan sebaliknya mahu melihat parti itu kecundang kerana pertelingkahan politik dengan pucuk pimpinan parti.
Itulah antara adegan politik yang telah dan akan berlaku melibatkan kedua-dua PRK tersebut.
Bagaimanapun BN tidak perlu bimbang, sebaliknya membuat persediaan untuk menghadapi cabaran sama ada dari dalam atau luar parti.
Namun begitu cabaran lebih getir adalah dari dalam parti khususnya melibatkan individu yang tidak berpuas hati kerana tidak terpilih sebagai calon. Walaupun sebahagian mereka begitu beria-ia berjanji akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh parti, tetapi beberapa PRK sebelum ini membuktikan acap kali, ‘di mulut lain, di hati lain’.
Pengumuman calon hari ini adalah sebagai pembuka gelanggang sebelum penamaan calon pada 5 Jun ini diikuti hari pengundian pada 18 Jun. Apa juga adegan politik yang berlaku sepatutnya tidak mengganggu agenda BN untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan demi meneruskan perjuangan bagi membela nasib rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan