Jumaat, 27 Mei 2016

Tapak karnival hari Peladang Kedah ditutup akibat ribut

MALAYSIAKINI


Tapak Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah di Taman Jubli Emas di Alor Setar terpaksa ditutup buat sementara malam tadi apabila banyak khemah rosak akibat dilanda ribut petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata penganjur kini membuat taksiran jumlah kerugian serta khemah yang terlibat dalam kejadian ribut pada pukul 6 petang itu selain menjalankan kerja pembaikan.
  
Katanya, pameran veterinar di kawasan ternakan ditutup serta merta akibat terjejas teruk manakala pameran lain akan terus beroperasi seperti biasa bermula pukul 10 pagi ini.
"Kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku," katanya dalam kenyataan malam tadi.
  
Suraya yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa Induk sambutan itu berkata khemah jualan tanaman landskap yang rosak akan diganti dengan khemah baru manakala peniaga yang terlibat akan dipindahkan ke khemah baru bermula hari ini.

Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah berlangsung semalam sehingga 29 Mei ini dari pukul 10 pagi hingga 10 malam melibatkan pameran, jualan tanaman landskap, jualan makanan dan pameran veterinar.- Bernama


Tiada ulasan: