Ahad, 29 Mei 2016

Zahid ingatkan bekas pemimpin jangan jadi 'kitab lama'

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUANTAN: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bekas pemimpin negara dan parti agar tidak menjadi seperti ‘kitab lama’ yang tidak dihormati generasi sekarang.
 
Tanpa menyebut mana-mana individu, beliau berkata seorang pemimpin seharusnya menjadi ‘kitab’ yang terus mendapat penghormatan dan menjadi rujukan generasi walaupun tidak lagi memegang jawatan penting.
 
“Cukup-cukuplah bila zaman kita telah berlalu. Kalau kita sudah jadi sebuah kitab yang tidak boleh dibaca, generasi kita tidak akan mengoyakkannya…kita akan letak di atas, jika berhabuk pun akan dicuci.
 
“Tetapi kitab lama kena duduk diam-diam. Jangan jadi kitab di lantai yang mengotorkan…Tetapi saya tidak merujuk sesiapa, sekadar mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Sumbangsih UMNO Paya Besar 2016 di sini, malam tadi.
 
Majlis yang diadakan bagi menghargai sumbangan ahli UMNO bahagian itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Ketua UMNO Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail dan 3,600 anggota parti.
 
Zahid yang juga timbalan perdana menteri menggesa pemimpin tersebut supaya menghargai semua pemimpin baharu yang diberikan kepercayaan, amanah dan mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi.
 
“Apabila zaman kita berlalu jangan ingat bahawa kependirian, kedudukan dan keberadaan kita selama ini disebabkan kebijaksanaan dan kekuatan kita semata-mata atau sumbangan yang kita lakukan.
 
“Ingatlah ketika pemimpin dan organisasi itu diuji. Bagaimana semasa organisasi terbahagi dua dan terpaksa didaftarkan semula. Itu semua sejarah.
 
“Generasi kita perlu perkukuhkan semula parti kerana apabila kita kuat baharu institusi kepimpinan akan kuat,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: