Isnin, 30 Mei 2016

‘Budak jahat’ insaf, kini bergelar jutawan

 
Pernah dibuang daerah, bergelumang dengan kegiatan mencuri dan jadi geng kongsi gelap tapi kini peniaga online jual sabun anti jerawat yang berjaya.


Muhammad-Zukermi-Edi


PETALING JAYA: Siapa sangka Muhammad Zukermi Edi pada usia 25 tahun kini sudah bergelar jutawan, sedangkan pada zaman remajanya, dia pernah dibuang daerah mengikut Ordinan Darurat dan turut ‘dibuang’ keluarga kerana sisi jahatnya itu.

Masih terngiang-ngiang kata-kata yang pernah dihamburkan kepadanya suatu ketika dahulu. “Kau budak tak habis sekolah, kerja mencuri sahaja, jangan nak berangan sangatlah. Budak tak guna!”.

Zukermi berkata cemuhan itu sebenarnya menjadi pendorong yang menguatkan lagi azamnya untuk terus berjaya tanpa menoleh ke belakang lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zukermi berkata hukuman buang daerah ke Rembau dikenakan ke atasnya atas kesalahan menyertai kongsi gelap pada usia 19 tahun.

Hukuman buang daerah dijatuhkan selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu, dia tidak boleh keluar dari Rembau dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali dalam seminggu.

Ketika menjalani hukuman perit itu, keluarganya di Puchong, Selangor enggan lagi berhubung dengannya.

Layaknya seperti gelandangan, setiap hari dia menumpang beg pakaiannya di sebuah kedai makan di pekan Rembau dan menumpang tidur di stesen bas atau surau.

Usai dua tahun di Rembau, dia pulang ke ibu negara dan terpaksa melalui liku-liku kehidupan Kuala Lumpur yang penuh cabaran dan melakukan pelbagai kerja.

“Saya pernah kerja jaga parkir kereta. Bukit Bintang bukan kawasan asing bagi saya. Saya pernah menghabiskan masa remaja seawal usia 14 tahun di sekitar tempat itu dengan terlibat dalam aktiviti kurang sihat termasuk mencuri,” katanya kepada Utusan.

Dia kemudian kembali ke Rembau kerana tidak tahan tinggal di ibu kota.

Ketika melepak di kafe siber, Zukermi mendapat idea untuk menjual barang secara dalam talian dan produk kesihatan lelaki menjadi barang pertama dipromosikan di laman sosial.

“Bila dapat tempahan, saya beli produk itu dan pos kepada pelanggan. Setiap hari, tidak kurang tiga pelanggan saya dapat, bermula dari situ.

“Apabila mendapat sambutan saya mula menjual sabun anti jerawat,” katanya.

Seterusnya dengan kudrat dan usaha serta berserah pada Tuhan, Zukermi dianugerahkan rezeki melimpah ruah apabila sabun anti jerawat dijualnya mendapat sambutan hangat.

“Saya kemudian jual sabun anti jerawat atas jenama sendiri MZ Secret Soap,” katanya.

Selepas semakin berjaya dengan perniagaan, dia pulang ke kampung bertemu ibu bapanya dengan memandu kereta pertama dibelinya, Proton Perdana.

“Pada mulanya, ibu bapa saya langsung tidak percaya saya pulang dengan kereta sendiri. Mereka ingat saya dapat duit banyak kerana jual dadah. Tetapi apabila saya katakan saya jual sabun dan menunjukkan kisah saya di keratan akhbar, mereka lega dan percaya.

“Malah mereka datang melawat saya di pejabat. Syukur hubungan saya dan keluarga kini sudah baik. Malah mereka juga menjadi pendorong semangat saya untuk terus berjaya di bidang ini,” katanya.

Melalui syarikatnya, MZ Secret Sdn Bhd, Zukermi kini memasarkan produk keluaran sendiri melalui online dan mengembangkan lagi beberapa produk termasuk yang terbaharu, Azanis Scar Serum yang dikeluarkan bersama rakan kongsi yang juga isterinya, Nur Azianis Zulkifli.

Tiada ulasan: