Khamis, 26 Mei 2016

Pindahan aset 1MDB selesai pertengahan Jun - Johari

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pindahan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dijangka selesai pada pertengahan Jun ini.
 
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata, cabang pelaburan strategik kerajaan itu akan menjadi syarikat tidak aktif untuk menguruskan liabiliti dan bonnya yang ia telah terbitkan.
 
"Kementerian juga memutuskan 1MDB tidak lagi dibenarkan untuk membuat pinjaman daripada mana-mana institusi dan perlu menguruskan liabiliti dan bonnya melalui apa juga cara," kata Johari kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. 
 
Beliau juga berkata nilai aset dipindahkan dijangka meningkat dan mencukupi untuk menampung semua liabiliti 1MDB termasuk komitmen bonnya.
 
Mengenai penutupan operasi BSI Bank Ltd (BSI Bank) di Singapura, Johari berkata ia tidak akan memberi sebarang impak kepada operasi 1MDB.
 
"1MDB tidak mempunyai banyak urus niaga dengan mereka (BSI Bank)," katanya. 
 
Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) mengumumkan pada semalam ia mengarahkan penutupan BSI Bank milik Switzerland di Singapura.
 
Notis hasrat telah diserahkan kepada bank itu untuk menarik balik statusnya sebagai bank saudagar di Singapura berhubung pelanggaran serius syarat-syarat anti pengubahan wang haram, pengawasan pengurusan operasi bank yang lemah dan salah laku oleh beberapa kakitangan bank. 
 
Terdahulu dilaporkan pengawal selia kewangan Switzerland bersetuju dengan pengambilalihan dan pembubaran BSI Bank, yang terbabit dalam siasatan 1MDB.
 
1MDB menjelaskan ia tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa undang-undang asing mengenai perkara berkaitan dengan syarikat itu tetapi mengesahkan pemilikan pelbagai pelaburan dananya tidak terjejas oleh pengumuman tersebut.
 
 

Tiada ulasan: